Ahad, 2 Julai 2017 | 3:17pm

BH diiktiraf badan pertubuhan antarabangsa, tempatan

HAFIFI Hafidz penerima Anugerah Kajai 1984. - Foto fail NSTP
HAFIFI Hafidz penerima Anugerah Kajai 1984. - Foto fail NSTP

SEPANJANG 60 tahun dalam industri media cetak, BH meraih pelbagai anugerah media peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Pengiktirafan berkenaan sekali gus melonjakkan imej BH di mata dunia sebagai satu organisasi media yang eksklusif meskipun berdepan jatuh bangun dan saingan dalam industri.

Berkonsepkan akhbar satu untuk semua yang merentasi generasi, laporan ataupun artikel dihasilkan BH memberi impak kepada segenap aspek khususnya negara.

Setiap detik atau bibit kejayaan yang dikecapi dan diiktiraf menerusi penganugerahan bukan disumbangkan oleh wartawan sahaja, malah turut membabitkan staf di belakang tabir.

Antaranya, muka depan sisipan keluaran khas BH yang dihasilkan oleh Editor Reka Letak BH, Muhamad Shahrul Nizam Manshor sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menambat perhatian juri di Anugerah Media Asia 2014 di Hong Kong.

Keputusannya, BH memenangi pingat emas bagi Anugerah Reka Letak Muka Depan Terbaik di anugerah yang dianjurkan oleh Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA).

Tahun lalu, BH berjaya meraih pingat perak bagi Kategori Pemasaran Akhbar menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada Anugerah Media Asia 2016 anjuran WAN-IFRA di Taman Kota Santiago, Filipina.

Pada 2011 pula, BH menerusi ABPBH berjaya meraih Anugerah Emas Kategori Liputan Merentas Media dalam Anugerah Media Digital Asia 2011 di Hong Kong.

BEKAS Pengarang Bersekutu Hiburan/BH2, Hanizam Abdullah menunjukkan Anugerah yang berjaya dimenangi BH menerusi ABPBH apabila berjaya meraih Anugerah Emas kategori Liputan Merentas Media dalam Anugerah Media Digital Asia 2011 di Hong Kong. - Foto fail NSTP

MUHAMAD Shahrul bersama anugerah yang dimenangi menerusi kategori Reka Letak Muka Depan Terbaik. - Foto Eizairi Shamsudin
MUHAMAD Shahrul bersama anugerah yang dimenangi menerusi kategori Reka Letak Muka Depan Terbaik. - Foto Eizairi Shamsudin

Dedikasi dan komitmen

Dedikasi dan komitmen yang ditonjolkan warga kerja BH terus mengukir kejayaan di peringkat nasional apabila akhbar itu buat kali kesembilan merangkul Anugerah Kajai pada 2014.

Anugerah Kajai adalah anugerah kewartawanan tertinggi di negara ini anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

BH pertama kali pernah memenangi anugerah berkenaan pada tahun 1983. Momentum kejayaan BH untuk merangkul anugerah tertinggi itu berjaya diteruskan pada tahun berikutnya, iaitu pada 1984, 1990, 2001, 2002, 2009, 2010, 2012 dan 2014.

Pengiktirafan berkenaan menjadikan BH antara media cetak paling banyak menerima anugerah itu sejak diperkenalkan pada 1982.

Sepanjang enam dekad menyediakan kandungan berita yang terbaik dan berkualiti untuk tatapan pembaca BH merangkumi segenap generasi, akhbar itu turut mendapat pengiktirafan dari pelbagai kementerian, agensi, organisasi dan syarikat di negara ini.

Bukan mudah untuk wartawan atau mereka yang bertungkus-lumus di belakang tabir mengecapi anugerah, ia menuntut dedikasi, komitmen, kualiti, fakta, kreativiti serta penyampaian berita yang meliputi semua aspek yang menjadi intipati penting karya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Anugerah Kajai HKM 2012 kepada wartawan BH, Sophia Ahmad. - Foto Mokhsin Abidin
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Anugerah Kajai HKM 2012 kepada wartawan BH, Sophia Ahmad. - Foto Mokhsin Abidin

Berita Harian X