Ahad, 2 Julai 2017 | 3:03pm

BH teruskan legasi pada alaf baharu

TIDAK dapat dinafikan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membawa kepada kewujudan media alaf baharu menggunakan jaringan media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp, Twitter dan Telegram untuk menyebarkan maklumat terkini.

Organisasi media tiada pilihan selain mengaplikasi media baharu berkenaan bagi memastikan tidak ketinggalan, relevan dan terus bertahan walaupun berhadapan cabaran hebat dan getir.

Dengan adanya media sosial, berita terkini tersebar sekelip mata dan cepat menjadi viral, berbanding media arus perdana konvensional kerana pembaca terpaksa menunggu keesokan hari untuk mendapatkan berita.

BH sebagai organisasi media arus perdana yang unggul tidak ketinggalan mengaplikasi sepenuhnya perkembangan media alaf baharu dengan memuatkan kandungan berita menerusi laman sesawang, bagi versi online iaitu www.bharian.com.my.

Perantara baharu

Akhbar ini juga memiliki tiga akaun media sosial, iaitu Facebook - Berita Harian Online yang setakat 28 Mei lalu mempunyai 4.6 juta pengikut, sekali gus menjadikan portal berita laman sosial memiliki pengikut terbesar di negara ini.

Selain itu, BH juga memiliki akaun Twitter (@bharianmy) yang mempunyai 1.1 juta pembaca pada 28 Mei lalu serta satu lagi media sosial digunakan adalah Instagram (beritaharian) yang mempunyai 306,000 pengikut.

Wartawan BH juga mempunyai kepakaran dan bakat dalam menyampaikan maklumat menerusi Liputan FB Live BH Online dan BHTV yang menjadikan akhbar ini kekal relevan sepanjang zaman.

Media kini berkembang pesat seiring pertumbuhan media baharu yang memberi ruang kepada pembaca untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas dan tepat yang dimanfaatkan akhbar ini.

PENGACARA Kapsul BHTV, (dari kiri) Farhana Ab Rahman, Luqman Arif Abdul Karim, Faris Fuad, Ahmad Suhael Adnan dan Basir Zahrom. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGACARA Kapsul BHTV, (dari kiri) Farhana Ab Rahman, Luqman Arif Abdul Karim, Faris Fuad, Ahmad Suhael Adnan dan Basir Zahrom. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Selain akhbar dan kemudahan internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah perantara baharu yang semakin popular dalam menyampaikan berita serta maklumat terkini.

Menyedari hakikat itu, Berita Harian Online mengoptimumkan pengalaman meluas dalam penyampaian berita yang dikembangkan menerusi perkhidmatan 'SMS Alert', iaitu berita terus ke telefon mudah alih pembaca.

Berkonsepkan 'digital didahulukan' Wartawan di lokasi juga akan bertindak pantas melaporkan berita menerusi 'SMS Alert' dan berita terkini melalui BH Online berkonsepkan 'digital didahulukan', dan diikuti untuk percetakan.

Sebagai sebuah akhbar yang telus, walaupun bersaing dengan media sosial dalam menyampaikan berita, BH tetap mempertahankan ketelusan serta ketepatan laporan dan berpegang teguh kepada etika kewartawanan.

Memetik tulisan bekas wartawan BH, Dr Hizral Tazzif Hisham, maklumat kini di hujung jari, hanya perlu menekan butang dan maklumat berkenaan akan sampai kepada peranti anda sama ada telefon pintar atau terminal komputer.

Kepantasan media sosial menyebarkan maklumat berkenaan menjadikan ia kini medium utama pilihan pengguna terutama generasi muda mendapatkan maklumat, zaman media arus perdana yang sebelum kedatangan media sosial memonopoli maklumat sudah berlalu.

Justeru, BH alaf baharu berada pada tahap terbaik dalam meneruskan legasi penyampaian maklumat seiring perubahan mas dan cita rasa pembaca masa kini.

Berita Harian X