Ahad, 2 Julai 2017 | 2:19pm

Wartawan sentiasa utamakan kecanggihan

KETIKA mula menceburi bidang kewartawanan 20 tahun lalu, penulis sempat menggunakan mesin taip semasa menjadi wartawan sambilan di sebuah akhbar tempatan di Sabah.

Itu kisah 20 tahun lalu, wartawan generasi masa kini bukan saja tidak mengenali mesin taip, malah lebih selesa menggunakan teknologi terkini yang canggih, sejajar perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sama ada suka atau tidak, wartawan veteran tiada pilihan kecuali mengadaptasi teknologi terkini agar tidak ketinggalan dan kekal relevan pada era kewartawanan alaf baharu.

Jika 10 tahun dulu, wartawan perlu kembali ke pejabat untuk menyiapkan berita, kini mereka tidak perlu berbuat demikian kerana penghantaran berita boleh dilakukan di mana-mana, bukan saja di lokasi liputan seperti pusat konvensyen, malah di kedai mamak dan bawah pokok, asalkan ada telefon pintar atau tab.

Itulah perubahan semasa, semua wartawan perlu menyediakan diri dengan teknologi canggih, pantas dan cekap mengendalikan telefon pintar dan tab bagi memastikan pembaca memperoleh berita yang 'segar' dan terawal dari media tempat kita bekerja.

Bagi wartawan BH Biro Sabah, Suzianah Jiffar, 43, wartawan sama ada generasi lama atau baharu, perlu menguasai teknologi agar mampu menyerap perkembangan semasa, terutama pada era ICT.

BERSIARAN secara langsung menerusi FB live adalah cara baru penyampaian berita lebih cepat kepada masyarakat.
BERSIARAN secara langsung menerusi FB live adalah cara baru penyampaian berita lebih cepat kepada masyarakat.

Media baharu

Beliau yang sudah 17 tahun berkhidmat dengan BH berkata, pembaca mahu berita dengan cepat menerusi media baharu iaitu secara online atau dalam talian yang menjadi pilihan masa kini.

Katanya, ini dengan sendirinya menuntut wartawan menyiapkan diri dengan teknologi terkini agar tidak hilang dalam dunia yang dikaitkan dengan maklumat di hujung jari.

"Jika dulu mungkin wartawan hanya memikirkan berita untuk diterbitkan esok, tetapi kini perlu menghantar 'SMS Alert' dan berita untuk siaran Online... tiada pilihan kedua, sebaliknya perlu menguasai teknologi baharu ini.

"Bagi kami generasi lama, tiada alasan untuk tidak menguasai kewartawanan alaf baharu kerana itulah tuntutan semasa, siapa gagal bersaing akan ketinggalan dan tidak lagi relevan," katanya.

Sebagai wartawan generasi baharu, Luqman Arif Abdul Karim beruntung kerana membesar dalam era ICT yang dengan sendirinya memudahkannya menguasai teknologi masa kini.

Beliau berkata, wartawan alaf baharu perlu sentiasa peka dengan isu semasa bagi memudahkan mereka menghasilkan berita dan menghantarnya dengan kadar segera.

Katanya, wartawan alaf baharu bukan saja perlu bijak menulis berita, malah perlu menguasai kemahiran melaporkan secara terus menerusi FB Live dan Televisyen Online.

"Seperti wartawan terdahulu, kami perlu rajin membaca dan menganalisis isu bagi memastikan pembaca memperoleh maklumat tepat dan mudah... kita perlu sentiasa berfikiran ke depan mendahului pembaca yang semakin kritis," katanya.

Yang pasti, wartawan seharusnya sentiasa memantapkan penguasaan ICT sejajar kemahiran wartawan alaf baharu yang lebih mendahulukan digital berbanding penerbitan sejajar tuntutan abad ke-21.

Berita Harian X