Ahad, 2 Julai 2017 | 1:58pm

Laporan sukan seiring aksi jagoan dunia

ATLET Olimpik Rio diraikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016. - Foto Yazit Razali
ATLET Olimpik Rio diraikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016. - Foto Yazit Razali

SEPANJANG 42 tahun penubuhan Meja Sukan Berita Harian, pelbagai lipatan sejarah sukan dipaparkan seiring perkembangan dunia sukan tanah air dan teknologi semasa sesuai dengan kehendak pembaca setianya.

Laporan Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komonwel, Sukan SEA hinggakan kejohanan tempatan sudah menjadi satu kemestian buat Berita Harian dengan ia tetap kekal mempunyai pengikut tersendiri yang dahagakan laporan terkini, isu menarik dan sesekali isu panas dalam dunia sukan.

Mengimbau kembali lipatan sejarah lapan pengarang sukan menerajui Meja Sukan bermula dengan Allahyarham Zainuddin Bendahara yang diteruskan Zian Johari, Datuk Hishamuddin Aun, Mohd Razali Yahaya, Datuk Badrulhisham Othman, Norbakti Md Alias, V Ashok dan terbaru Rasid Rahaman.

Idea menubuhkan Meja Sukan dicetuskan Pengarang, Datuk A Samad Said yang menganggap ia sesuatu yang perlu ketika itu selepas Malaysia mula menjadi tumpuan dunia sukan antarabangsa apabila kejohanan utama diadakan di sini khususnya di Kuala Lumpur.

Malah, 1975 dianggap tahun sukan di Malaysia apabila diadakan Piala Dunia Hoki ketiga di Padang Kilat, Jalan Pantai diikuti aksi tinju heavyweight dunia antara juaranya Muhammad Ali dan Joe Bugner di Stadium Merdeka.

Kewujudan Meja Sukan Berita Harian bukan sahaja berjaya memenuhi cita rasa pembaca yang dahagakan perkembangan sukan dalam dan luar negara, malah turut mendapat perhatian pegawai persatuan sukan kebangsaan.

Meja Sukan Berita Harian pernah menerbitkan sisipan mingguan, Jaguh yang diilhamkan Penolong Pengarang Kumpulan Berita Harian ketika itu Yunus Said pada 6 Ogos 1989, yang diselaraskan Razak Rafflis.

Selepas itu beberapa sisipan juga diterbitkan termasuk EPG (Emas Perak Gangsa) dan Bola. Bahkan perubahan saiz Berita Harian kepada tabloid juga tidak menjejaskan laporan sebaliknya menjadikan ia lebih padat.

Semua itu menjadikan laporan sukan Berita Harian semakin digemari, diiktiraf pembaca dan persatuan sukan, sehingga satu ketika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menjadikan Berita Harian sebagai rujukan.

Sejajar dengan perubahan semasa juga, Berita Harian sejak beberapa tahun lalu meneroka laporan menerusi platform laman web dan aplikasi telefon pintar sesuai dengan kehendak pembaca.

Menerusi paparan berita secara dalam talian, aplikasi telefon pintar serta media sosial, laporan sukan sudah beralih kepada sesuatu yang lebih pantas dan mudah diakses sesuai dengan perkembangan terkini.

Rasid berkata, kini pembaca dapat mengikuti laporan secara terus menerusi pelbagai medium dan tidak lagi terhad kepada membaca akhbar semata-mata.

Jelasnya, Meja Sukan Berita Harian bergerak mengikut perkembangan semasa supaya ia terus relevan dalam memberikan laporan terkini buat pembacanya.

MUHAMMAD Ali pada sidang media sebelum perlawanan dengan Joe Bugner. - Foto fail NSTP
MUHAMMAD Ali pada sidang media sebelum perlawanan dengan Joe Bugner. - Foto fail NSTP

Senarai kejohanan utama yang diberi liputan Berita Harian:

  • Olimpik 2016 - Rio De Janeiro, Brazil (Hussein Said)
  • Olimpik 2012 - London, United Kingdom (V Ashok)
  • Olimpik 2008 - Beijing, China (Nurbakti Alias)
  • Olimpik 2004 - Athens, Greek (Badrulhisham Othman)
  • Olimpik 2000 - Sydney, Australia
  • Olimpik 1996 - Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat
  • Olimpik 1992 - Barcelona, Sepanyol
  • Olimpik 1988 - Seoul, Korea Selatan
  • Olimpik 1984 - Los Angeles, California, Amerika Syarikat
Berita Harian X