Ahad, 2 Julai 2017 | 10:04am

Berita global jendela isu antarabangsa

SEIRING dengan usia BH yang sudah mencecah 60 tahun, Unit Luar Negara akhbar ini juga semakin matang dalam menghidangkan berita menarik dari luar negara.

Bukan sebarangan berita luar yang dipilih untuk disiarkan BH sebaliknya ia perlu menepati kehendak dan ada kaitannya dengan rakyat Malaysia.

Selain pemilihan berita, aspek lain yang perlu diberi perhatian serius unit ini adalah proses penterjemahan supaya tidak lari daripada makna asal dan mudah difahami pembaca.

Pemilihan berita juga pelbagai, antaranya kisah politik, tragedi, skandal selebriti dan sebagainya.

Berita luar negara diperoleh menerusi agensi seperti AFP, AP dan Reuters. Tidak kurang juga berita luar negara yang pernah mendapat tempat di muka depan akhbar ini.

Contoh paling ketara ialah kematian Puteri Diana pada 31 Ogos 1997. BH menyiarkan berita kematian ibu kepada pewaris takhta Britain itu dalam kemalangan jalan raya di Paris di muka depan.

Keputusan dibuat berdasarkan kedudukan dan status Puteri Diana sendiri yang kerap menjadi tumpuan penduduk dunia termasuk rakyat Malaysia.

Skandal Beckham

BH juga menjadi akhbar pertama mendedahkan skandal membabitkan pemain bola sepak terkenal dunia, David Beckham, dengan pembantu peribadinya ketika bermain dengan kelab Real Madrid, Rebecca Loos, pada 2004.

Berita mengenai kecurangan Beckham itu turut mendapat tempat di muka depan akhbar ini dan disiarkan pada tempoh agak lama di ruangan Dunia.

Pada tahun sama juga, menyusul pula isu hubungan terlarang antara pengurus pasukan bola sepak England ketika itu, Sven Goran Eriksson dengan Setiausaha Persatuan Bola Sepak England, Faria Alam.

Bagaimanapun, kecenderungan Unit Luar Negara tidak terhad hanya kepada skandal dan selebriti kerana ia turut menjadi menyiarkan mengenai isu penting yang kerap menjadi tumpuan.

Rundingan damai Palestin

Antara berita besar yang menjadi tanggungjawab petugas di unit ini adalah rundingan damai Palestin dan Israel, yang diwakili pemimpin masing-masing, iaitu Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel, Ehud Barak, pada 2000.

Pertemuan di Camp David dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Bill Clinton, sebagai orang tengah nyata tidak mencapai sebarang persetujuan.

Namun, berita paling gempar yang pasti diingati ramai adalah liputan serangan dilancarkan di New York dan Pentagon pada 11 September 2001.

Serangan yang didakwa dilancarkan al-Qaeda itu meranapkan sama sekali Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York yang mengorbankan hampir 3,000 orang, termasuk penyerang.

Ia disusuli serangan ke atas Afghanistan pada tahun sama atas arahan Presiden AS ketika itu, George W Bush, atas alasan memburu arkitek utama serangan 11 September iaitu pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden.

Bush sekali lagi mengeluarkan arahan menyerang Iraq pada 2003 atas alasan Baghdad memilik senjata pemusnah besar-besaran. Malah, Unit Luar Negara ketika itu menerbitkan sisipan khas mengenai serangan berkenaan.

Obama jadi presiden

Operasi membawa kepada kejatuhan pemimpin Iraq, Presiden Saddam Hussein yang akhirnya dijatuhi hukuman gantung pada 2006.

Pada akhir 2004, tragedi tsunami yang bermula dengan gempa bumi di Aceh pula mendominasi muka depan akhbar dunia.

Unit Luar Negara BH sekali berperanan penting menyajikan bencana itu untuk tatapan pembaca yang inginkan maklumat lebih lanjut mengenai tragedi yang melanda negara jiran berkenaan.

Kejayaan Barack Obama menjadi presiden kulit hitam pertama AS pada pilihan raya presiden 2008 juga menarik perhatian dunia termasuk Malaysia. Unit Luar Negara BH tidak ketinggalan membuat liputan bertulis mengenai kemenangan Obama.

Sukar memperincikan satu persatu berita utama dunia yang pernah mendapat tempat di dada BH.

Namun, apa yang disenaraikan adalah sebahagian daripada kesungguhan BH menerusi Unit Luar Negara menyajikan berita menarik perhatian pembaca.

Berita Harian X