Sabtu, 1 Julai 2017 | 2:00pm

ABPBH 3 dekad tetap utuh

PEMENANG ABPBH 2017, Fattah Amin bersama peminat pada malam kemuncak tiga dekad ABPBH 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Aziah Azmee
PEMENANG ABPBH 2017, Fattah Amin bersama peminat pada malam kemuncak tiga dekad ABPBH 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Aziah Azmee

KEAMPUHAN acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tidak perlu dipertikaikan lagi.

Bertahan tiga dekad dengan edisi terbaharu, ABPBH 3.0 mencatat jumlah tontonan tertinggi 5.2 juta orang (12.9 TVR) ketika disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei lalu, acara anugerah berprestij ini terbukti masih relevan.

Malah, ABPBH sudah menjadi sebahagian daripada industri hiburan yang dinanti-nantikan biarpun zaman dan cita rasa peminat berubah.

Sebagai sebuah acara hiburan pilihan peminat berprestij, ABPBH terus berevolusi baik daripada mekanik penganjuran terutama kaedah undian, pencalonan artis mahupun kategori dipertandingkan. Semua ini dilakukan bagi memastikan ABPBH terus memikat peminat baharu dan pada masa sama, mengekalkan falsafah di sebalik penganjurannya.

Buktinya, ABPBH 3.0 yang meraikan ulang tahun ke-30 acara anugerah ini, menarik lebih 1.5 juta undi apabila sistem pemilihan secara online diperkenalkan. Ini pertama kali ABPBH melaksanakan sistem undian secara talian sepenuhnya, berubah daripada cara undian melalui akhbar yang diperkenalkan sejak tahun 1987.

Bertemakan 'futuristik', ABPBH 3.0 menggambarkan perubahan teknologi yang mempengaruhi kehidupan manusia. Elemen futuristik dalam bidang seni pula merujuk kepada karya yang dihasilkan daripada ledakan teknologi dan trending di laman sosial, namun masih mengangkat nilai estetika dan identiti diri.

Disambut baik peminat, ABPBH 3.0 menampilkan konsep berbeza sesuai dengan kematangan dan keutuhan akhbar BH yang meraikan ulang tahun ke-60, Julai depan.

SHAHEIZY Sam, pemenang ABPBH 2014 bersama Kereta Toyota Camry pada malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto Surainie Mohd Hanif
SHAHEIZY Sam, pemenang ABPBH 2014 bersama Kereta Toyota Camry pada malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto Surainie Mohd Hanif

Dari sebuah restoran ke lokasi gah

Menyoroti sejarah ABPBH, ia dicetuskan bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk A Nazri Abdullah dan digerakkan Pengarang Unit Hiburan ketika itu, Nordin Mohamad dan wartawan, Zubairi Zabidin pada 1987.

Atas usaha itu, munculnya Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 - Nescafe Classic yang diadakan di sebuah restoran di Dewan Bunga Raya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Disember 1987.

Ketika itu, hanya tujuh kategori dipertandingkan antaranya Pelakon Lelaki Popular dimenangi Eman Manan, Pelakon Wanita Popular (Fauziah Ahmad Daud), Pelakon Pembantu Lelaki Popular (Ahmad Tarmimi Siregar), Pelakon Pembantu Wanita Popular (Marlia Musa), Penyanyi Lelaki Popular (Shidee), Penyanyi Wanita Popular (Francissca Peter), dan Penyanyi Berkumpulan Popular (Search).

Berubah mengikut peredaran zaman, jumlah pencalonan dan kategori artis juga ditambah baik. Pada ABPBH 3.0, sebanyak 13 kategori utama diperkenalkan termasuk tiga kategori yang digabungkan sejak tahun lalu iaitu Penyampai Radio, Pengacara Televisyen (TV) dan Artis Versatil. Selain itu, lima kategori online turut diperkenalkan.

Lahirnya bintang

Sepanjang tiga dekad penganjurannya juga, ABPBH tidak syak turut membantu memantapkan lagi kerjaya seni beberapa bintang seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz dan Neelofa.

   Bersama-sama keutuhan jenama anugerah hiburan paling lama bertahan di Malaysia ini, masing-masing mengorak langkah di bidang seni dengan sokongan padu peminat, yang seterusnya membantu menjadikan mereka antara wajah malar segar dalam industri berkenaan.

   Dengan sokongan peminat juga, ABPBH akan terus kekal relevan dan menjulang lebih ramai bintang di persada seni negara.

FAUZIAH Ahmad Daud (kanan) dan Ahmad Tarmimi Siregar masing-masing menerima Anugerah Pelakon Wanita Popular dan Pelakon Pembantu Lelaki Popular pada 1987. - Foto fail NSTP
FAUZIAH Ahmad Daud (kanan) dan Ahmad Tarmimi Siregar masing-masing menerima Anugerah Pelakon Wanita Popular dan Pelakon Pembantu Lelaki Popular pada 1987. - Foto fail NSTP

Info

  • Dikenali dengan nama Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 - Nescafe Classic ketika pertama kali dianjurkan pada 1987.
  • Meraikan ulang tahun ke-30 penganjurannya pada ABPBH 3.0, Mei lalu.
  • Kategori Bintang Paling Popular diperkenalkan pada 1990.
  • Diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia.
  • Edisi terbaharu, ABPBH 3.0 mencatat jumlah tontonan tertinggi 5.2 juta orang (12.9 TVR).
  • Siti Nurhaliza memegang rekod artis paling banyak memenangi kategori Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali.
  • Siti juga menerima Anugerah Seri Perak pada ABPBH 25 selepas diundi peminat bersama 11 calon Bintang Paling Popular lain.

SITI Nurhaliza memegang rekod artis paling banyak memenangi kategori Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SITI Nurhaliza memegang rekod artis paling banyak memenangi kategori Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Berita Harian X