Khamis, 25 Mei 2017 | 10:31am

TalentCorp buka peluang kejayaan Anniza

SHAH ALAM: Peluang kembali melalui Program Kepulangan Pakar (REP) di bawah Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) direbut Anniza Soh, untuk berkhidmat di Malaysia selepas hampir sedekad di luar negara.

Lapan tahun berkelana di luar negara, Anniza, 31, yang kini bekerja dengan syarikat perkhidmatan medan minyak yang terbesar di dunia, Schlumberger, pulang ke tanah air tahun lalu.

Beliau yang menjadi Pengurus Perkhidmatan Lapangan Schlumberger, bertanggungjawab untuk operasi di Malaysia, Brunei dan Filipina.

Tak mampu biayai pengajian

"Saya datang dari keluarga sederhana. Ibu bapa saya tidak mampu untuk membiayai pengajian saya di luar negara. Ibu adalah pesara pengetua sekolah, bapa pula peladang.

"Namun, saya amat bersyukur kerana memperoleh biasiswa Petronas dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak.

"Dengan biasiswa itu, saya tidak menyusahkan keluarga untuk menyambung pelajaran," kata wanita yang masih membujang itu.

Anniza, anak bongsu daripada enam beradik, berkata walaupun beliau lahir dan membesar di Sabah, keluarganya berasal dari Melaka dan Pulau Pinang.

Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja dengan Schlumberger dan pekerjaannya membawa beliau ke Qatar, Brazil, Perancis dan akhirnya menerusi REP, berpeluang kembali untuk menabur bakti di negara sendiri.

"Sesungguhnya, saya amat berterima kasih dengan peluang ini kerana Program Transformasi Nasional (NTP) menyumbang kepada kejayaan saya sebagai wanita bekerjaya," katanya.

Berita Harian X