Rabu, 24 Mei 2017 | 1:47pm

NTP cetus pelbagai impak positif ekonomi

NAJIB memerhatikan Mat Over bersalaman dengan David pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara di UiTM Shah Alam, malam tadi.
NAJIB memerhatikan Mat Over bersalaman dengan David pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara di UiTM Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mengajak seluruh rakyat bersyukur kerana Malaysia terus dilimpahi rahmat kestabilan dan trajektori pertumbuhan ekonomi yang kekal positif.

Justeru, Perdana Menteri berharap rakyat tanpa mengira kaum, keturunan dan bangsa berbaik-baik antara satu sama lain untuk menjamin keamanan dan kemakmuran negara.

"Apa yang saya dan pihak kerajaan buat adalah untuk kepentingan seluruh rakyat, tidak kira kaum, keturunan ataupun bangsa.

"Maka, kita tidak mahu gaduh-gaduh, kita hendak semua berbaik-baik, tolong-menolong antara satu sama lain, agar negara kita aman dan makmur.

"Depan saya nampaknya saudara Mat Over pun hadir dan saudara David Teoh pun ada, duduk sama-sama lagi, macam ini la bagus.

"Ini yang saya mahu sebagai Perdana Menteri dan kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu-padu, barulah Malaysia akan berjaya," katanya berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, malam tadi.

Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yassin dan David Teoh mencuri perhatian umum susulan tindakannya menampar penerbit filem itu di depan Najib dalam Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2015), minggu lalu.

Menjelas laporan pencapaian NTP, Najib berkata, antara lain ia merangkumi pertambahan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) dan projek pembinaan Keretapi Berkelajuan Tinggi (High Speed Rail) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam hanya tempoh 90 minit yang bakal menjadi kenyataan.

Turut dalam perancangan pembinaan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), menghubungkan Pengkalan Kubor, Kelantan ke Pelabuhan Klang yang akan memberi limpahan ekonomi di sepanjang laluannya.

Katanya, NTP turut membabitkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak dan ke Sabah dari Sindumin ke Tawau, yang keseluruhannya sepanjang 2,325 kilometer, dengan kos hampir RM30 bilion.

Najib berkata, projek MRT Fasa 1, yang beroperasi pada 16 Disember 2016 lalu juga berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

"Insya-Allah, Fasa 2 MRT yang seterusnya ini, akan memulakan operasi pada Julai ini, melengkapkan jajaran Sungai Buloh - Kajang sepanjang 51 kilometer," katanya.

Utama pembangunan kawasan luar bandar

Perdana Menteri turut berkata, menerusi NTP, kerajaan mengutamakan pembangunan luar bandar menerusi NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Pembangunan Luar Bandar.

Katanya, sejak 2010 sehingga 2016, kerajaan membina dan menaik taraf 6,042 kilometer jalan raya luar bandar, menyediakan bekalan air bersih kepada lebih 350,000 rumah dan menyambungkan bekalan elektrik kepada lebih 153,000 rumah di luar bandar.

"Kerajaan turut membina dan membaik pulih hampir 100,000 rumah golongan miskin luar bandar sejak 2010 hingga 2016," katanya.

Merujuk kepada pembangunan golongan B40 pula, Najib berkata, purata pendapatan bulanan golongan itu kini sudah meningkat, daripada RM1,847 kepada RM2,537.

Dalam industri pelancongan pula, menerusi NTP, seramai 26.7 juta pelancong datang melawat Malaysia, berbanding 25.7 juta pelancong pada 2015.

"Perolehan pelancongan juga meningkat daripada RM69 bilion pada tahun 2015, kepada RM82 bilion pada tahun lalu.

"Apa yang membanggakan kita, Malaysia diiktiraf sebagai Destinasi Utama Asia selama dua tahun berturut-turut di World Travel Award 2015 dan 2016," katanya.

Perdana Menteri berkata, pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada 23 Mac lalu bakal menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia, di luar negara China.

"Melalui inisiatif ini, Ekonomi Digital mampu mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu, sekali gus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada KDNK negara.

"Bermula 1 Oktober tahun ini, sebanyak 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang layak, akan disenaraikan di platform e-dagang, Alibaba.com.

"Insya-Allah, DFTZ ini menerusi inisiatif Kuala Lumpur Internet City, akan dimajukan di Bandar Malaysia sebagai hab e-commerce yang terhebat lagi terunggul di dunia," katanya.

Pada majlis itu, Najib juga berkongsi kisah kejayaan beberapa individu dalam beberapa sektor yang menerima pelbagai bantuan kerajaan menerusi NTP.

Berita Harian X