Rabu, 24 Mei 2017 | 1:37pm

Pengalaman Razali bukti kerajaan banyak bantu rakyat

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara2016 yang dirasmikan Perdana Menteri di UiTM Shah Alam, malam tadi.
SEBAHAGIAN tetamu yang hadir pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara2016 yang dirasmikan Perdana Menteri di UiTM Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM: Kisah seorang pekerja swasta hanya perlu membayar RM31.80 untuk bil rawatan kanser bapanya lebih RM11,000, dikongsi Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016, malam tadi.

Pengalaman dilalui Razali Tompang, sebelum ini viral di laman sosial kerana beliau ketika itu hanya mempunyai RM100, sekali gus buntu memikirkan bagaimana mahu membayar bil rawatan bapanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Namun, Razali yang berasal dari Melaka hanya diminta membayar RM31.80, menyebabkan beliau tidak dapat menahan sebak dan selepas itu mengingatkan mereka yang gemar membandingkan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dengan negara lain agar menutup mulut.

Ketika ditemui selepas pelancaran NTP 2016 malam tadi, Razali berkata, beliau menceritakan kisah itu kerana tidak mahu kerajaan yang banyak membantu, terus dihina pelbagai pihak.

Bantuan kerajaan

"Ramai rakyat terima bantuan daripada kerajaan, tapi tidak menggunakan media sosial sebagai tempat bercerita. Kisah saya hanya kebetulan sebab saya rasa bertanggungjawab untuk menceritakan apa yang terjadi.

"Kerajaan sudah melakukan yang terbaik dan segala kemudahan di hospital lengkap untuk pesakit, tapi yang menjadikan kerajaan buruk adalah pelawat yang datang (hospital)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, berkata pelantikan wanita untuk jawatan tinggi membuka ruang kepada golongan berkenaan untuk berjaya di negara ini.

"Saya hanya contoh. Kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan wanita membuktikan wanita juga mampu. Ini akan menjadi semangat kepada wanita lain untuk terus berjaya terutama kepada pelajar universiti," katanya.

Berita Harian X