Rabu, 24 Mei 2017 | 12:33pm

Sektor pelancongan catat peningkatan positif

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan menunjukkan pemulihan kukuh apabila jumlah kehadiran pelancong pada tahun 2016 mencatatkan penambahan seramai sejuta orang berbanding pada tahun sebelumnya.

Seramai 26.7 juta pelancong melawat negara ini sepanjang tahun lalu, manakala pada tahun 2015, mencatatkan jumlah 25.7 juta orang, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, jumlah ini sekali gus menunjukkan hasil perolehan negara meningkat sebanyak RM13 bilion, dengan jumlah keseluruhan RM82.1 bilion, iaitu sebanyak 49 peratus daripada sasaran perolehan pada 2020.

Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan terus berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran 36 juta ketibaan pelancong dan perolehan sektor pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.

Jana keberhasilan mantap

Usaha kementerian dalam memudah cara NKEA Pelancongan telah menjana keberhasilan yang mantap dengan mencapai 112 peratus daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada 2016.

Ini sekali gus menyumbang sebanyak RM73.7 bilion pendapatan negara kasar (PNK) yang dipacu oleh bidang fokus beli-belah, eko-pelancongan, pelayaran persiaran dan acara perniagaan yang terus berkembang.

Keputusan kerajaan pada Mac 2016 untuk memperkenalkan kemasukan tanpa visa dan e-Visa untuk menggalakkan kunjungan pelancong dari China turut membuahkan hasil dengan peningkatan sebanyak 26.7 peratus pada 2016.

Beliau berkata, sepanjang 2016, Malaysia menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila diangkat sebagai Destinasi Terunggul Asia dalam anugerah berprestij World Travel Awards 2016 dan dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Pertama dalam MasterCard-Crescent Rating Global Muslim Travel Index 2016.

Anugerah lain yang diterima termasuk Destinasi Bandar Asia Terbaik dan Destinasi Kulinari Asia Terbaik oleh Travvy Awards.

5 Destinasi Terbaik

Kuala Lumpur pula tersenarai antara 5 Destinasi Terbaik dalam senarai 25 bandar beli-belah terbaik dunia oleh Expedia UK sementara Ipoh penerima pengiktirafan 10 Terbaik Asia oleh Lonely Planet bagi senarai 2016.

Susulan usaha pemulihan dan pembaikan, lokasi semula jadi utama telah pulih sepenuhnya selepas bencana alam pada tahun 2014 yang menjejaskan ketibaan pelancong pada 2015.

Sejumlah 859,409 pelawat mengunjungi Malaysia sebagai lokasi Hab Biodiversiti Mega, melebihi sasaran sebanyak 650,000 pada tahun 2016.

Bagi pelancongan perniagaan, sejumlah 341 acara perniagaan diadakan, termasuk mesyuarat korporat, lawatan galakan, konvensyen dan pameran, menarik lebih 127,849 perwakilan antarabangsa dan menjana anggaran RM1.5 bilion kepada ekonomi negara.

Segmen pelancongan pelayaran persiaran menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan 32 peratus dalam bilangan penumpang daripada 523,272 pada 2015 kepada 692,063 pada 2016.

Berita Harian X