Ahad, 25 Jun 2017 | 8:24pm

Lampard desak The Blues kekalkan Costa

DIEGO costa.
DIEGO costa.

LONDON: Legenda Chelsea, Frank Lampard, menegaskan pasukan itu sukar untuk mendapatkan pengganti Diego Costa jika penyerang berkenaan membuat keputusan meninggalkan The Blues pada jendela perpindahan musim panas ini.

Costa, 28, menjadi penjaring terbanyak pasukan itu untuk tiga musim sejak menyertai mereka pada 2014 dan membantu kelab memenangi dua kejuaraan liga.

Awal bulan lalu, penyerang Sepanyol itu menyatakan bakal meninggalkan Stamford Bridge selepas pengurusnya, Antonio Conte, menyatakan beliau tidak lagi berada dalam perancangan pasukan itu bagi musim hadapan.

"Dia adalah penyerang yang baik dan kita sudah saksikan kemampuannya musim lalu sejak dia menyertai Chelsea.

"Tidak dinafikan, sukar untuk Chelsea mencari penyerang sepertinya.

"Dia juga pemain serba boleh dan memiliki kualiti untuk mendapatkan gol. Tidak mudah mencari penyerang seperti itu ketika ini," kata Lampard.

Costa meledak 22 gol dalam 42 penampilan musim lalu, namun Chelsea sedang memancing untuk membawa kembali penyerang Everton, Romelu Lukaku, yang menjaringkan 26 gol pada kempen liga yang lalu.

Lukaku menunjukkan perkembangan yang besar sejak meninggalkan Chelsea pada 2014.

Masalahnya adalah nilai pasaran yang begitu tinggi dan ini menyukarkan Chelsea untuk mendapatkannya kembali.

Costa menyatakan minat untuk kembali menyertai Atletico Madrid, namun kelab Sepanyol itu berdepan sekatan pendaftaran pemain baharu sehingga Januari 2018, yang dikenakan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). - REUTERS

Berita Harian X