Ahad, 18 Jun 2017 | 6:13pm

Kedah dipilih laluan terpanjang Jelajah Malaysia

ALOR SETAR: Kedah dipilih sebagai laluan terpanjang dalam kejohanan antarabangsa lumba basikal Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) yang akan bermula dari Selangor melalui Perak dan berakhir di Kedah dari 3 hingga 7 Oktober ini.

Kejohanan berbasikal yang berusia 53 tahun dan bakal disertai 20 pasukan terbaik dari rantau Asia itu menampilkan lima peringkat perlumbaan membabitkan laluan sejauh 1,350 kilometer dan hadiah keseluruhan RM155,000.

Antara pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Team UKYO dari Jepun, Pishgaman Cycling Team (Iran), KSPO Bianchi Asia Pro Cycling (Korea Selatan), manakala Malaysia diwakili sembilan pasukan yang diterajui Terengganu Cycling Team.

EXCO Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya mengalu-alukan pemilihan Kedah sebagai laluan terpanjang perlumbaan kali ini.

"Perlumbaan ini akan merentasi Kulim, Gunung Jerai dan berakhir di Alor Setar. Ia akan turut mempromosikan tempat pelancongan menarik di Kedah," katanya yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Majlis Pelancaran dan Sidang Media Jelajah Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif JM2017, Noraidilazhar Sulaiman berkata, lima peringkat cadangan laluan sudah dirancang iaitu bermula dari Shah Alam Selangor ke Bagan Datoh, Lumut-Kuala Kurau, Kuala Kangsar-Kulim, Kulim-Gunung Jerai dan kriterium Alor Setar.

"Pertandingan ini akan menawarkan lima jersi yang bakal menjadi rebutan pelumba. Ia bakal menjanjikan perlumbaan yang cukup menarik," katanya.

Berita Harian X