Selasa, 13 Jun 2017 | 8:09am

Kante tersisih bukti Perancis miliki skuad ampuh

PERANCANG tengah Perancis, N'Golo Kante (kanan) mengawal bola ketika menentang Paraguay pada perlawanan persahabatan 2 Jun lalu. - Foto Reuters
PERANCANG tengah Perancis, N'Golo Kante (kanan) mengawal bola ketika menentang Paraguay pada perlawanan persahabatan 2 Jun lalu. - Foto Reuters

CROISSY-SUR-SEINE, Perancis: Kegagalan N'Golo Kante untuk mengekalkan posisi utamanya membuktikan Perancis memiliki barisan pemain yang hebat, kata pengurus England, Gareth Southgate.

Perancang tengah itu meraih dua anugerah - Pemain Terbaik Tahunan dan Pemain Terbaik Tahunan PFA selepas membantu Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Namun, dia tetap gagal memikat Didier Deschamps apabila pengendali Perancis itu lebih berminat menurunkan Paul Pogba dan Blaise Matuidi ketika tewas di tangan Sweden dalam aksi kelayakan Piala Dunia, Jumaat lalu.

Southgate dan England kini berada di Perancis bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa di Paris, malam ini.

Apabila ditanya pada sidang media mengenai keputusan Deschamps untuk tidak menurunkan Kante, Southgate berkata: "Dia mempunyai skuad yang kuat!

"Saya melihat aksi Perancis pada kempen Euro musim panas lalu dan merasakan Kante cukup cemerlang dalam pertemuan pertama menentang Romania.

"Tetapi ternyata mereka mempunyai ramai pemain lain yang juga bagus.

"Kante begitu mencuri tumpuan sejak dua tahun lalu di dalam EPL dan layak atas penghormatan diberikan kerana pada tahun lalu di Leicester City saya merasakan dia menjadi pemain paling penting dalam pasukan terbabit."

Menurut Southgate, kemunculan sensasi muda Monaco Kylian Mbappe sejak enam bulan lalu juga membuktikan banyak bakat muda yang membangun di Perancis.

Penyerang berusia 18 tahun itu mungkin bakal mengemudi jentera serangan Perancis selepas mengharungi separuh musim kedua yang hebat bersama Monaco dalam kempen ini. - AFP

Berita Harian X