Jumaat, 2 Jun 2017 | 11:18pm

GP Itali: Adam ke-21 terpantas latihan bebas

Pelumba Moto3, Adam Norrodin. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Pelumba Moto3, Adam Norrodin. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin melengkapkan hari pertama Grand Prix (GP) Itali dengan berada di tangga ke-21 terpantas, hari ini.

Catatan 1 minit 59.412 saat dilakukannya pada sesi latihan bebas kedua itu memperbaiki catatan 2'00.766s yang dirakamkan pada sesi pagi.

Penunggang tuan rumah dari pasukan Del Conca Gresini Moto3, Fabio Di Giannantonio mengungguli kedua-dua sesi dengan catatan 1'57.328s yang dilakukannya pada sesi latihan kedua.

Pendahulu kelas Moto3, Juan Mir menamatkan saingan sesi latihan bebas hari ini di kedudukan kelima terpantas dengan catatan terbaik, 1'58.028s.

Penunggang Sepanyol itu kini mendahului carta saingan Moto3 dengan 99 mata, 34 mata di depan penghuni tangga kedua ketika ini, Romano Fenati.

Sebagai rekod, selepas lima pusingan musim 2017, Adam kini mengumpul enam mata untuk menduduki tangga ke-21 keseluruhan.

Enam mata itu diraihnya pada perlumbaan pembuka tirai 2017 di GP Qatar yang menyaksikan pelumba SIC Racing Team itu menamatkan saingan di kedudukan ke-10.

Berita Harian X