Khamis, 1 Jun 2017 | 11:36am

Lima aksi Real Madrid-Juventus paling diingati

MANCHESTER: Menjelang aksi final Liga Juara-Juara antara gergasi Sepanyol, Real Madrid dan gergasi Itali, Juventus pada awal pagi Ahad ini, berikut adalah fakta menarik lima perlawanan kedua-dua pasukan yang paling diingati.

1) Suku akhir kedua Piala Eropah (Februari 1962): Real Madrid 0 Juventus 1

Real Madrid tidak tewas dalam pertembungan Eropah di laman sendiri sehinggalah Omar Sivori menanduk masuk hantaran John Charles bagi menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Juventus terlepas peluang pada minit-minit terakhir untuk menjaringkan gol yang mungkin boleh membantu kemenangan, namun ia berkesudahan 1-1 secara agregat dan Real Madrid memenangi perlawanan seterusnya di Paris, seminggu selepas itu.

2) Suku akhir kedua Piala Eropah (November 1986): Juventus 1 Real Madrid 0 (selepas masa tambahan). Real Madrid menang 3-1 menerusi penentuan penalti.

Real Madrid membawa bekalan 1-0 ke Turin untuk aksi kedua tetapi Juventus hanya memerlukan sembilan minit untuk menafikannya menerusi jaringan kapten pasukan, Antonio Cabrini.

Namun, mereka gagal menemui penyudah diinginkan dalam penentuan penalti sedangkan pasukan Sepanyol itu meledak tiga gol secara berturut-turut untuk mara.

3) Final Liga Juara-Juara di Amsterdam (Mei 1998): Juventus 0 Real Madrid 1.

Juventus melangkah ke final ketiga berturut-turut, menewaskan Ajax menerusi penentuan penalti pada 1996 dan tewas di tangan Borussia Dortmund pada tahun sebelumnya.

Namun, impian Juve dipadamkan dengan gol tunggal Pedrag Mijatovic pada babak kedua seterusnya menamatkan penantian 32 tahun Real untuk meraih gelaran ketujuh mereka.

4) Suku akhir kedua Liga Juara-Juara (Mac 2005): Juventus 2 Real Madrid 0 (tambahan masa).

Selepas ketinggalan satu gol, Juventus menyamakan kedudukan agregat ketika perlawanan berbaki 15 minit pada aksi kedua menerusi jaringan pemain simpanan, David Trezeguet.

Kehangatan meningkat apabila penyerang Real dari Brazil, Ronaldo dan simpanan Juve, Alessio Tacchinardi diarah keluar padang pada minit ke-113.

Marcelo Zalayeta menjaringkan gol kemenangan pada baki empat minit sebelum tamat tambahan masa.

5) Separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (Mei 2015): Real Madrid 1 Juventus 1.

Alvaro Morata yang dijual Real kepada Juventus pada musim panas sebelumnya, kembali menghantui mereka apabila menjaringkan gol yang membantu pasukan dari Turin meraih tempat di final.

Ketinggalan 2-1 ketika aksi pertama, Real berada di depan menerusi jaringan di laman lawan apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan sepakan penalti pada pertengahan babak pertama.

Namun, Morata berjaya 'mendiamkan' Bernabeu apabila menyamakan kedudukan dan ironinya dia enggan meraikan jaringannya itu. - Reuters

Berita Harian X