Rabu, 31 Mei 2017 | 12:32pm

Mahrez tinggalkan The Foxes

RIYAD Mahrez.- Foto AP
RIYAD Mahrez.- Foto AP

LONDON: Pemain sayap Leicester City, Riyad Mahrez mengumumkan akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2016 itu, menurut laporan media British.

Mahrez, 26, yang menyertai kelab diberi jolokan The Foxes daripada kelab Perancis Le Havre pada 2014, berkata kini sudah tiba masanya untuk dia berhijrah bagi memenuhi 'cita-cita besarnya'.

Pemain terbaik tahunan PFA 2016 itu, beraksi 48 perlawanan dan meledak 10 gol sepanjang musim ini, untuk membantu Leicester mara sehingga ke suku akhir Liga Juara-Juara.

"Untuk berlaku jujur dan telus, saya sudah memberitahu kelab ia adalah masa yang sesuai untuk saya berpindah," kata Mahrez dalam satu kenyataannya.

"Saya mempunyai satu perbincangan baik dengan pengerusi kelab pada musim panas lalu dan kami bersetuju bahawa saya akan kekal untuk semusim lagi bagi membantu kelab sebaik mungkin berikutan peralihan daripada kemenangan liga.

"Saya melalui tempoh empat tahun yang hebat di Leicester dan merindui setiap saat ini. Malah, saya bangga dengan pencapaian kami terutama dalam memenangi gelaran EPL.

"Hubungan saya bersama kelab dan penyokong sesuatu yang akan saya kenang sampai bila-bila dan saya berharap mereka menghormati keputusan saya ini."

Pemain antarabangsa Algeria itu, yang dibeli Leicester dengan kos 400,000 pounds (RM 2.19 juta), memeterai sambungan kontrak selama empat tahun pada musim lalu. - Reuters

Berita Harian X