X
Sabtu, 20 Mei 2017 | 5:59pm

Brendan Gan nafi umum ditawar sertai JDT

BRENDAN Gan
BRENDAN Gan

KOTA BHARU: Bekas pemain tengah dan pertahanan Kelantan, Brendan Gan kecewa dengan khabar angin mengaitkannya menyertai kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menerusi entri terbaharu pada akaun Facebook miliknya, sebentar tadi, beliau menjelaskan kenyataan yang viral di laman sosial mengenai dirinya yang sudah dipancing oleh skuad Harimau Selatan adalah tidak benar.

"Suka saya maklumkan mengenai komen yang mengaitkan ke JDT. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media bahawa saya dilamar oleh pasukan itu atau mana-mana pasukan sekalipun kerana saya masih belum pulih sepenuhnya.

"Saya rasa kecewa kerana pasukan besar dan profesional seperti JDT mengambil serius hal itu seterusnya membuat tindak balas.

"Kenyataan itu bukan saya yang buat dan ia direka oleh pihak tertentu (media). Tiada siapa daripada pasukan itu menghubungi terus saya sebelum ia (kenyataan) diterbitkan, perkara itu jelas mengejutkan saya," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards menerusi akaun rasmi Facebook rasmi kelab itu menafikan memberi tawaran kepada bekas pemain tengah Kelantan itu.

Pada masa sama, Brendan yang pernah mencipta nama bersama pasukan skuad The Red Warriors (TRW) menyatakan kerinduan terhadap pasukan itu dan mahu melihat ia terus maju dalam saingan Liga M.

Katanya, meskipun kini tidak beraksi bersama TRW tetapi beliau sentiasa mengikuti perkembangan pasukan itu.

"Ia bagaikan satu penghargaan bermakna dan pengalaman terbaik kerana pernah menjadi sebahagian keluarga TRW lebih tiga tahun dan banyak kenangan saya rakamkan bersama rakan pasukan termasuk penyokongnya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya bersedia menerima kembali khidmat bekas pemain pasukan TRW itu sekiranya kesihatannya mengizinkan untuk bermain.

Berita Harian X