Khamis, 18 Mei 2017 | 7:21pm

Ghaddar tekad julang JDT

Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora (kanan) menyerahkan jersi bernombor 22 kepada pemain baru JDT, Mohammed Ghaddar (kiri) selepas menandatangani kontrak bagi menyertai pasukan itu pada majlis memperkenalkan pemain baru di Stadium Larkin hari ini.
- Foto BERNAMA
Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora (kanan) menyerahkan jersi bernombor 22 kepada pemain baru JDT, Mohammed Ghaddar (kiri) selepas menandatangani kontrak bagi menyertai pasukan itu pada majlis memperkenalkan pemain baru di Stadium Larkin hari ini.
- Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Penyerang prolifik, Mohammed Ghaddar bertekad membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengekalkan kejuaraan Liga Super untuk musim keempat berturut-turut.

Tekad itu dizahirkan oleh pemain dari Lubnan itu selepas secara rasmi mengikat kontrak bersama skuad Harimau Selatan itu, semalam pada jendela perpindahan kedua yang bermula Isnin lalu.

Pemain berkenaan yang kini muncul penjaring terbanyak selepas meledak 18 gol tatkala membuat 11 penampilan bersama Kelantan musim ini mengikat kontrak selama setahun enam bulan bersama JDT.

Beliau akan membuat penampilan pertama apabila Harimau Selatan berdepan PKNS FC pada aksi liga di Stadium Shah Alam, 24 Mei ini.

Bagaimanapun Ghaddar enggan meletak sasaran untuk muncul penjaring terbanyak pada saingan liga, sebaliknya matlamat utama menyertai JDT bagi membantu pasukan itu memenangi setiap perlawanan yang diharungi.

"Saya bukan mahu meletak diri selaku penjaring terbanyak tetapi apa yang penting kehadiran saya untuk mempertajamkan lagi serangan dan tidak kira siapa yang menjaringkan gol kerana kita bermain secara berpasukan.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemain profesional untuk beri persembahan terbaik apabila menyertai JDT dan tidak dinafikan pasukan itu dibarisi pemain berkualiti malah ia pasti akan beri saya lebih keyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Ghaddar yang menyertai JDT menggantikan Brian Fereirra untuk kuota import pemain Asia dan akan menggunakan jersi nombor 22 manakala Gabriel Guerra yang sering memakai nombor berkenaan akan menggunakan jersi bernombor 10 pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Yang turut hadir, Pengarah Sukan JDT, Alistair Edward dan ketua jurulatih Benjamin Mora.

Sementara itu Mora menyifatkan kehadiran Ghaddar akan menguatkan lagi jentera serangan dan tidak mahu terlalu bergantung untuk pemain itu menjaringkan gol sebaliknya lebih terarah untuk membentuk kombinasi mantap antara Guerra, Gonzalo Cabrera dan Safiq Rahim.

"Saya harap Ghaddar dapat menyesuaikan diri dalam skuad JDT secepat mungkin dan ia tidak timbul masalah kerana dia pemain profesional malah corak permainan yang pantas dan kelicikan mengawal bola serta sering bergerak dan teknik yang menarik amat sesuai dengan cara permainan JDT.

"Ghaddar akan turun pada aksi pertamanya menentang PKNS FC dan saya optimis dia akan beri impak positif kepada JDT dan saya mahu dia berlatih 120 peratus sebelum turun pada aksi pertama, " katanya.

Berita Harian X