Isnin, 8 Mei 2017 | 7:23am

Mourinho 'menyerah kalah'

Jose Mourinho
Jose Mourinho

LONDON: Jose Mourinho mengakui mustahil bagi Manchester United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat teratas selepas kekalahan 0-2 di tangan Arsenal, malam tadi.

United kekal ketinggalan empat mata di belakang penghuni tangga keempat, Manchester City dengan berbaki tiga perlawanan termasuk kunjungan ke White Hart Lane bagi pertemuan menentang Tottenham Hotspur yang menduduki tempat kedua.

Mourinho berkata, jadual padat yang terpaksa diharungi termasuk kemungkinan dua lagi perlawanan dalam saingan Liga Europa menyaksikan mereka perlu memenangi kejohanan itu bagi layak ke Liga Juara-Juara.

"Mustahil untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas liga. Kami perlu bermain pada Khamis ini (menentang Clet Vigo) dan selepas itu kami bertemu Tottenham tetapi kami tidak turunkan skuad terbaik menentang Tottenham.

"Tiga hari kemudian kami akan menentang Southampton dan selepas itu Crystal Palace. Pasukan lain hanya bermain sekali seminggu," kata Mourinho.

Mourinho gembira dengan prestasi anak buahnya biarpun dibebani masalah kecederaan selain jadual yang padat tetapi masih boleh mengharungi 25 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga.

Katanya, tugasan seterusnya adalah untuk meneruskan sistem penggiliran dalam skuad kendaliannya bagi memastikan United menjuarai Liga Europa.

Di Stadium Emirates, Mourinho memberi peluang kepada Axel Tuanzebe membuat penampilan pertamanya dalam saingan liga dan dia gembira dengan prestasi dipamerkan pemain berusia 19 tahun itu.

"Pemain muda ini sangat bijak," kata Mourinho yang meletakkan Tuanzebe beraksi di posisi pertahanan kanan biarpun posisi asal pemain itu adalah pertahanan tengah. - Reuters

Berita Harian X