Jumaat, 28 April 2017 | 7:00pm

Subahan mahu tanah Kompleks Sukan FAS dipindah milik

DATUK Seri Subahan Kamal. - Foto Abdullah Yusof
DATUK Seri Subahan Kamal. - Foto Abdullah Yusof

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menuntut kerjasama daripada kerajaan Selangor supaya memindah milik dan mendaftarkan tanah bangunan Kompleks Sukan FAS di Seksyen U15, Shah Alam, di atas nama persatuan berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kompleks yang siap dibina sejak satu setengah tahun lalu itu sepatutnya menjadi milik persatuan bagi kegunaan khusus, namun sehingga kini ia belum diserahkan.

Katanya kompleks sukan di kawasan seluas kira-kira dua hektar itu diberikan sebagai pertukaran selepas tanah di belakang bangunan Yayasan FAS digazetkan kepada FAS dan dibangunkan menjadi sebuah pusat komersial setelah berlakunya perubahan dalam pucuk pimpinan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Bila Selangor menang piala semua orang nak menjulang tetapi tiada seorang pun yang melihat dan memperjuangkan kebajikan FAS. Kita tidak minta banyak, hanya satu tempat khas untuk kita bekerja dan pasukan kesayangan kita berlatih.

"Saya difahamkan pada asalnya padang di belakang bangunan Yayasan FAS itu telah digazetkan kepada FAS, tetapi entah bagaimana tiba-tiba boleh dibangunkan menjadi sebuah pusat komersial.

"Kemudian, sewaktu Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau telah berjuang untuk FAS dan berjaya mendapatkan tanah yang kini menjadi kompleks sukan itu.

"Namun, apabila saya dilantik menjadi Presiden FAS, status kompleks itu berubah tanpa sebarang alasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kerjasama antara FAS dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Subahan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menyelar tindakan kerajaan negeri yang seperti mengabaikan soal kebajikan pasukan Gergasi Merah itu apabila gagal menyediakan padang latihan yang sempurna.

"Keadaan Padang SUK yang menjadi tempat latihan skuad Selangor ibarat sawah padi dan paling menyedihkan apabila padang tersebut turut dikongsi bersama orang awam," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X