Khamis, 27 April 2017 | 5:07pm

Kerjasama berpasukan bantu JDT di atas - Antonio

KAPTEN Johor Darul Ta'zim (JDT), Marcos Antonio. - Foto Rosli Ahmad
KAPTEN Johor Darul Ta'zim (JDT), Marcos Antonio. - Foto Rosli Ahmad

JOHOR BAHRU: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Marcos Antonio, menganggap kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang pada aksi Liga Super, kelmarin bagi memastikan tangga teratas kekal milik pasukan itu adalah hasil kerjasama berpasukan.

Namun pemain import dari Brazil itu tidak mahu terlalu dibuai mimpi indah tatkala saingan pusingan kedua kelak lebih mencabar dan komitmen tinggi amat ditagih dalam usaha memburu kejuaraan liga pada musim ini.

Katanya, selepas gagal untuk mempertahankan Piala FA, kini tumpuan terarah untuk memburu kejuaraan liga kali keempat tatkala bagi memastikan JDT layak bersaing dalam kancah Piala AFC.

"Saingan pusingan kedua nanti lebih getir dan saya sendiri perlu meningkatkan lagi kualiti permainan dan optimis kerjasama berpasukan yang sudah lama dibentuk mampu menjelmakan kejayaan.

"Saya percaya JDT berada di landasan terbaik untuk berada di tangga teratas tetapi kami tidak boleh terlalu selesa kerana pencabar terdekat seperti Pahang dan Kedah akan mengintai peluang untuk memintas JDT.

"Saya dan rakan sepasukan tidak mahu usaha yang dibentuk sejak bermulanya saingan liga musnah begitu sahaja dan kekuatan mental serta fizikal amat penting jika mahu kekal konsisten," katanya.

Antonio juga tidak berdepan masalah untuk bergandingan sama ada bersama Mohd Fadhli Shas dan Aidil Zafuan Abd Radzak bagi membentuk benteng pertahanan yang ampuh malah menganggap kedua-dua pemain itu berpengalaman mengemudi posisi itu.

Malah katanya, keampuhan benteng amat diutamakan tatkala barisan serangan lawan akan sentiasa menguji dan memberi tekanan malah ketika menentang Pulau Pinang, kelmarin, barisan serangan pasukan lawan tampak bekerja keras apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya.

"Aksi seterusnya pada saingan Piala AFC apabila kami menerima kunjungan kelab dari Myanmar, Magwe FC, Rabu ini di laman sendiri dan ia juga perlawanan penting kerana kemenangan akan membawa kami ke saingan kalah mati," kata Antonio.

Berita Harian X