Khamis, 20 April 2017 | 7:18am

Mbappe robek gawang Dortmund lagi

PENYERANG Monaco, Kylian Mbappe Lottin (kiri) bersaing dengan pemain tengah Dortmund, Shinji Kagawa dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Louis II, Monaco. - Foto AFP
PENYERANG Monaco, Kylian Mbappe Lottin (kiri) bersaing dengan pemain tengah Dortmund, Shinji Kagawa dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Louis II, Monaco. - Foto AFP

MONACO: Penyerang muda sensasi, Kylian Mbappe sekali lagi menyumbat gol bagi membantu Monaco mencatat kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara.

Kemenangan menyaksikan kelab dari Perancis itu mara ke separuh akhir dengan agregat 6-3.

Mbappe membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan gol pembukaan tuan rumah di Stade Louis II seawal minit ketiga permainan sebelum Radamel Falcao menggandakan kedudukan pada minit ke-17.

Dortmund yang terdesak bangkit merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi kapten, Marco Reus namun pemain gantian, Valere Germain mengesahkan kemenangan yang membawa Monaco ke peringkat empat terakhir buat pertama kali sejak 2004.

"Kami amat gembira membawa Monaco ke peringkat separuh akhir. Ia amat penting bagi kelab-kelab di Perancis dan juga Perancis," kata Falcao kepada beIN Sports.

"Sejak dari permulaan permainan kami memberikan tekanan yang tinggi dan menjaringkan gol awal dan ia menjadi dengan begitu baik."

Perlawanan pertama pada minggu lalu di Dortmund tertangguh sehari susulan serangan bom yang menyaksikan kelab Jerman berkenaan tewas 3-2.

Ketika mereka mengharapkan aksi di laman lawan menjadi medan kebangkitan, moral pemain Dortmund sedikit terjejas apabila permainan di Stade Louis II terpaksa ditangguhkan selama lima minit.

UEFA menyalahkan "keadaan trafik teruk" menjadi punca kepada kejadian berkenaan menerusi laman sosial Twitter badan induk itu namun Dortmund berkata pergerakan mereka ditangguhkan oleh pihak polis kira-kira 20 minit "tanpa sebarang justifikasi."

"Ia perkara yang paling buruk boleh berlaku seminggu selepas serangan, semua orang berada di atas bas dan bersedia untuk pergi namun kami tidak dibenarkan bergerak," kata bos Dortmund, Thomas Tuchel.

AFP

Berita Harian X