Ahad, 16 April 2017 | 9:41pm
AZIZULHASNI Awang menunjukkan pingat emas kejohanan dunia keirin di Hong Kong yang dimenanginya selepas tiba di VIP Lounge KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir
AZIZULHASNI Awang menunjukkan pingat emas kejohanan dunia keirin di Hong Kong yang dimenanginya selepas tiba di VIP Lounge KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir

Azizulhasni diberi sambutan wira di KLIA

AZIZULHASNI Awang yang mengenakan jersi pelangi selaku juara dunia acara keirin disambut isteri Athiah Ilyana Abd Samat dan dua anaknya Amna Maryam, 4, dan Amna Khadeeja, 1, di VIP Lounge KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir

SEPANG: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang menerima sambutan wira sebaik tiba di tanah air sebentar tadi, susulan kejayaannya meraih pingat emas acara Keirin pada Kejohanan Dunia Trek UCI di Hong Kong, Khamis lalu.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocket Man nyata tidak mahu menghampakan peminatnya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tepat jam 7.55 malam tadi.

Sebaik muncul, dia melambai-lambaikan tangan kepada kira-kira 500 peminatnya yang setia menanti.

Dia juga sempat bersalaman dan menandatangani autograf untuk orang ramai yang mengerumuninya sebelum beredar menaiki kenderaan Institut Sukan Negara (ISN).

Namun, paling mencuri tumpuan saat Azizulhasni disambut dengan pelukan oleh isterinya Athiah Ilyana Abd Samat dan dua anak perempuannya, Amna Maryam, 4, dan Amna Khadeeja, 1.

Turut hadir menyambut ketibaan Azizul, 29, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Mohd Khairi Zawi.

Berita Harian X