Jumaat, 14 April 2017 | 6:09pm

Kejayaan Azizulhasni mendapat pujian

KEJAYAAN jaguh trek negara, Azizulhasni Awang merangkul kejuaraan dunia acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, semalam mendapat pujian banyak pihak. - Foto EPA
KEJAYAAN jaguh trek negara, Azizulhasni Awang merangkul kejuaraan dunia acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, semalam mendapat pujian banyak pihak. - Foto EPA

MELAKA: Kejayaan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang merangkul kejuaraan dunia acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, semalam mendapat pujian banyak pihak.

Reaksi yang diterima oleh BH Online berhubung kejayaan pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu menunjukkan altlet Malaysia sememangnya sudah mampu melakar kejayaan luar biasa di pentas antarabangsa.

Azizulhasni mencipta sejarah apabila menjuarai acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong semalam selepas 10 tahun bersaing pada perlumbaan itu. Dia juga adalah pelumba pertama negara ini memenangi kejuaraan berkenaan sehingga kini.

BEKAS pemenang acara berbasikal 800 meter Sukan SEAP, Shaharudin Jaffar. - Foto NSTP
BEKAS pemenang acara berbasikal 800 meter Sukan SEAP, Shaharudin Jaffar. - Foto NSTP

Bekas pemenang acara berbasikal 800 meter Sukan SEAP, Shaharudin Jaffar berkata, kejayaan Azizulhasni itu membuktikan perbezaan fizikal tidak lagi menjadi isu dalam sukan yang memerlukan penggunaan tenaga seperti acara berbasikal itu.

"Kemenangan itu membuktikan anak Malaysia juga berada di kelas dunia dalam acara berkenaan walaupun bertubuh kecil.

"Jelas pandangan dunia berkaitan Malaysia tidak mampu menguasai kancah dunia dalam acara individu terutama berkaitan penggunaan tenaga kini tidak lagi harus berlaku. Azizulhasni sudah membuktikan kemampuan anak Malaysia," katanya mengulas kejayaan itu, hari ini.

Shaharudin berkata, kejayaan Azizuhasni itu mampu menjadi suntikan semangat dan motivasi buat generasi muda untuk turut menyerlah sepertinya pada masa depan.

"Pada perlumbaan itu, bagi saya Azizul berada dalam posisi yang betul dan berada dalam tempo tepat untuk memintas dua lawannya pada tiga pusingan terakhir. Teknik dan strategi tepat jelas membuahkan hasil terbaik.

"Kedudukannya di tengah adalah taktikal yang betul untuk bersedia memecut dan akhirnya berjaya memenangi saingan. Saya sebagai bekas sprinter juga melakukan gaya yang sama sepanjang terbabit dalam acara pecut," katanya.

SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Berbasikal Melaka, Ibrahim Mustapa. - Foto NSTP
SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Berbasikal Melaka, Ibrahim Mustapa. - Foto NSTP

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Berbasikal Melaka, Ibrahim Mustapa berkata, kejayaan Azizulhasni bakal menjadi contoh kepada pelumba muda di Melaka dan seluruh negara.

Katanya, sokongan semua pihak pasti mendorong kejayaan lebih besar buatnya berikutan kemenangan itu juga membolehkan dia mendedahkan apa yang dilakukan untuk terus melakukan kejayaan sama atau lebih baik pada saingan mendatang.

"Sukan berkenaan yang ada dianggap sebagai sukan yang tidak mampu untuk Malaysia bersaing di persada dunia sudah dibuktikan Azizulhasni menerusi kemenangan itu," katanya.

Berita Harian X