Jumaat, 14 April 2017 | 11:38am

Athiah tumpang gembira kejayaan Jijoe

AZIZULHASNI bersama isteri, Athiah dan dua anaknya; Amna Maryam, 4, dan Amna Khadeeja, 1. - Foto fail NSTP/Osman Adnan
AZIZULHASNI bersama isteri, Athiah dan dua anaknya; Amna Maryam, 4, dan Amna Khadeeja, 1. - Foto fail NSTP/Osman Adnan

IPOH: Isteri mana yang tidak berbangga jika suami menempah kejayaan. Begitulah juga perasaan Athiah Ilyani Abdul Samad selepas kejayaan suaminya, Azizulhasni Awang yang merangkul gelaran dunia acara keirin di Kejohanan Trek Dunia UCI di Hong Kong, malam tadi. 

"Sudah tentu saya tumpang gembira. Impian untuk bergelar juara dunia akhirnya menjadi realiti selepas menanti selama 10 tahun. 

"Saya sentiasa berdoa kepada Allah setiap hari untuk kejayaan ini dan kali ini Alhamdulillah, Azizulhasni berjaya melakukannya di Hong Kong," kata Athiah ketika ditemui di rumah bapanya di sini, sebentar tadi.

Athiah berkata menjadi rakyat Malaysia yang pertama muncul juara dunia sekali gus membuktikan Azizulhasni mampu bersaing dengan lawan yang bersaiz lebih besar. 

Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu yang digelar The Pocketrocketman itu sebelum ini meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.   

Katanya, Azizul menghubunginya selepas perlumbaan semalam untuk memaklumkan mengenai kejayaan itu. 

"Hari ini kami belum bersembang lagi. Dia pun ada acara lagi (200 meter pecut) hari ini," katanya.

Berita Harian X