Khamis, 13 April 2017 | 11:03pm

"10 tahun saya menanti saat ini" - Azizulhasni

JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang mencipta sejarah apabila menjuarai acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, sebentar tadi. - Foto Reuters
JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang mencipta sejarah apabila menjuarai acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, sebentar tadi. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang mencipta sejarah apabila menjuarai acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, sebentar tadi.

Kejayaan membanggakan yang dilakar pemenang pingat gangsa Olimpik Rio itu hadir selepas 10 tahun dia beraksi di kejohanan berkenaan sekali gus muncul pelumba negara pertama memenangi emas di Kejohanan Trek Dunia.

"Syukur Alhamdulillah akhirnya saya menjadi juara," kata Azizulhasni atau digelar The Pocketrocket Man.

"Selama 10 tahun saya menanti saat ini dan akhirnya berjaya menjadi Raja Keirin."

Sekali pun menerima saingan sengit di final daripada beberapa nama besar seperti pelumba Australia, Matthew Glaetzer, Azizulhasni membuktikan dia paling bertenaga apabila pertama melepasi garisan penamat.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata, ketinggalan 0.382 saat (s) manakala pelumba Republik Czech, Tomas Babek melengkapkan kedudukan podium selepas ketinggalan 0.417s.

Begitupun, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan pertama.

Berita Harian X