Ahad, 9 April 2017 | 9:56am

MotoGP: Marquez tempah petak utama

JUARA dunia, Marc Marquez. - Foto EPA
JUARA dunia, Marc Marquez. - Foto EPA

TERMAS DE RÍO HONDO, Argentina: Juara dunia, Marc Marquez mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Argentina, pagi tadi yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat untuk menempah petak utama pada perlumbaan esok.

Pelumba pasukan Honda itu mengatasi asakan pelumba Republik Czech dan Ducati, Karel Abraham yang mencipta kejutan selepas melakukan masa kedua terpantas manakala pelumba Britain, Cal Crutchlow melengkapkan barisan depan.

"Ketika kelayakan, keadaan tidak begitu bagus dengan corak tunggangan saya kerana ia setengah basah dan setengah kering namun kami berjaya mengatasinya.

"Kami cuba melakukan pusingan terbaik dan kemudian meraih petak utama," kata Marquez yang muncul pelumba tunggal melakukan catatan bawah 1 minit 48 saat (s).

"Saya gembira untuk memulakan perlumbaan di barisan depan esok.

MARC Marquez mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Argentina, pagi tadi yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat untuk menempah petak utama pada perlumbaan esok. - Foto EPA
MARC Marquez mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Argentina, pagi tadi yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat untuk menempah petak utama pada perlumbaan esok. - Foto EPA

"Mereka menjangkakan ia akan berlangsung dalam keadaan kering, jadi ketika perlumbaan ia akan menjadi cerita yang berbeza, namun kami akan mencari jalan untuk bertarung menaiki podium," katanya.

Keadaan jelas tidak begitu memihak pendahulu kejuaraan dari Yamaha, Maverick Vinales yang memenangi perlumbaan pembukaan di Qatar apabila sekadar mencatatkan masa keenam terpantas.

Catatan yang dilakukannya kurang 1.706s di belakang juara dunia lima kali, Marquez.

"Saya tidak kecewa. Kami bergelut sedikit dengan cengkaman di bahagian belakang dan saya tidak tahu mengapa. Saya merasa sesuatu yang pelik ketika keadaan basah, sesuatu yang amat berbeza berbanding ketika kering, jadi kami perlu menganalisanya," kata Vinales.

"Ini kali pertama saya menunggang jentera Yamaha dalam keadaan hujan, jadi masih ada kerja yang perlu dibuat terhadap pelarasan ketika keadaan basah, namun saya gembira."

Rakan sepasukan Vinales, Valentino Rossi yang pernah memenangi GP Argentina pada 2015 mencatat masa ketujuh terpantas dan akan memulakan perlumbaan di barisan ketiga.

Ia adalah perlumbaan ke-350 sepanjang karier pelumba berusia 38 tahun itu.

"Ini adalah kedudukan ketujuh, tiada apa yang menakjubkan kerana pada keadaan basah, saya tidak mampu untuk sepantas seperti tahun lalu," kata Rossi ketika bekas rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo yang kini bersama Ducati mencatat masa ke-16 terpantas. - AFP

Berita Harian X