Sabtu, 18 March 2017 | 1:13am

City bikin Liverpool kempunan di Etihad?

MINGGU ini, sebanyak 10 lagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan berlangsung.

Kali ini, semua pasukan gergasi liga atau Big 6 akan turun beraksi. Sudah pasti tumpuan terarah kepada aksi Manchester City-Liverpool di Etihad.

Jurgen Klopp dan Pep Guardiola.
Jurgen Klopp dan Pep Guardiola.

Namun, sebelum kita menyentuh pertarungan dua jurulatih terkenal - Pep Guardiola dan Jurgen Klopp itu - mari kita lihat dulu kedudukan mutakhir liga selepas berakhirnya minggu ke-28.

Walaupun tidak beraksi minggu lalu, Chelsea tetap unggul di persada dengan himpunan 66 mata, meninggalkan pesaing terdekatnya, Tottenham Hotspur dengan kelebihan 10 mata.

Tottenham juga tidak beraksi minggu lalu kerana terbabit dalam suku akhir Piala FA.

Dalam perlawanan itu, pasukan bimbingan Mauricio Pochettino, yang beraksi di laman sendiri membelasah Millwall, 6-0. Tempat ketiga dihuni City, juga dengan 56 mata dan dibezakan dengan Spurs dari segi jaringan.

The Citizens turut tidak beraksi minggu lalu dalam saingan EPL kerana terbabit dalam Piala FA. Guardiola pastinya gembira apabila barisannya layak ke separuh akhir selepas membenam Middlesbrough, 2-0.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, mereka dipalit duka apabila gagal meneruskan saingan dalam Liga Juara-Juara selepas disingkirkan Monaco pada aksi 16 terakhir pada Khamis.

Penghuni tangga keempat adalah Liverpool yang turun beraksi menentang Burnley di laman sendiri bagi aksi EPL minggu lalu.

Mereka berjaya melunaskan dendam ke atas lawan yang mengaibkan mereka pada awal musim, dengan kemenangan 2-1.

Satu lagi pasukan pilihan, namun kini dilihat kehilangan motivasi, Arsenal, menduduki tempat kelima dengan himpunan 50 mata. Namun, mereka memiliki kelebihan dua perlawanan berbanding Liverpool.

Arsene Wenger
Arsene Wenger

Barisan Arsene Wenger turut terbabit dalam saingan Piala FA minggu lalu. Mereka membelasah Lincoln City, 5-0.

Bagaimanapun, kekalahan besar kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara sehingga tersingkir meletakkan Wenger dalam kedudukan tidak selesa ketika ini.

Satu lagi pencabar kejuaraan liga, Manchester United, terus kekal di tangga keenam dengan himpunan 49 mata.

Perasaan bercampur-baur menggamit Jose Mourinho minggu ini. Sedih akibat gagal mempertahankan Piala FA selepas diketepikan Chelsea, 1-0, namun gembira apabila menyingkirkan Rostov FC dalam saingan Liga Europa menerusi agregat 2-1.

Berbalik kepada saingan tumpuan minggu ini antara City dan Liverpool di Etihad. Saya menjangkakan perlawanan ini harus paling sengit dan mendebarkan.

Baik tuan rumah atau The Reds selaku pelawat, mereka tertekan untuk memenangi aksi ini. Ia ibarat aksi hidup mati kedua-dua pasukan.

Jose Mourinho
Jose Mourinho

Ketika trofi kejuaraan dilihat hampir pasti milik The Blues, perebutan untuk menduduki tangga kedua hingga keempat menjadi pertaruhan kedua-duanya.

Posisi ini dianggap ganjaran paling besar kerana menjanjikan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Barisan Klopp terutamanya, sangat memerlukan kedudukan itu selepas sekian lama tersisih dari saingan Eropah.

Kebetulan pula, ia juga adalah penawar terbaik untuk mereka selepas terlepas Piala FA dan Piala Liga musim ini.

Bagi City pula, kemenangan harus berpihak kepada mereka pada aksi di Etihad itu bagi mengukuhkan cengkaman di posisi kedua carta liga, sambil berharap untuk terus menghambat Chelsea dan mencipta jurang dengan Spurs.

Bagi mengukuhkan pertemuan klasik kedua-dua pasukan ini, suka saya mengimbas lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan. Jelas sekali The Reds mendominasi The Citizens apabila memenangi empat daripadanya.

Hanya pada 25 Ogos 2014 ketika saingan di Etihad, mereka tewas 1-3.

Liverpool memenangi empat aksi berturut-turut selepas itu, bermula pada 1 Mac 2015 di Anfield, dengan jaringan 2-1, sebelum disusuli 21 November 2015 di Etihad (1-4), 2 Mac 2016 di Anfield (3-0) dan terakhir di Anfield pada 31 Disember lalu, mereka menang 1-0.

Jika berdasarkan pada persembahan dan pencapaian semasa, memang sukar untuk meramalkan keputusan.

Namun, saya memilih City untuk memenangi aksi di Etihad ini, biarpun Liverpool mungkin masih ada 'sindrom' jadi gagah bila jumpa pasukan setaraf.

Dalam pada itu, bagi aksi lain, Chelsea dijangka tiada masalah mengetepikan Stoke City. Begitu juga Arsenal yang berdepan West Brom.

United pula harus menyalahkan diri sendiri andai gagal mengatasi Middlesbrough, manakala aksi Spurs-Southampton pasti sengit. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-29

West Brom 1 Arsenal 3

Crystal Palace 2 Watford 1

Sunderland 1 Burnley FC 2

Everton 3 Hull City 1

Stoke City 1 Chelsea 2

West Ham 1 Leicester City 1

Bournemouth 2 Swansea City 1

Middlesbrough 1 Man United 3

Tottenham Hotspur 2 Southampton 0

Man City 3 Liverpool 1

Berita Harian X