Isnin, 13 March 2017 | 10:24am

Icardi, Banega ledak hatrik benam Atalanta

PEMAIN Inter Milan, Ever Banega (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Mauro Icardi dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Serie A di Stadium Giuseppe Meazza, Milan, awal pagi tadi. - Foto EPA
PEMAIN Inter Milan, Ever Banega (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Mauro Icardi dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Serie A di Stadium Giuseppe Meazza, Milan, awal pagi tadi. - Foto EPA

MILAN: Dua pemain Argentina, Mauro Icardi dan Ever Banega masing-masing meledak hatrik ketika membantu Inter Milan mengejar slot ke Liga Juara-Juara musim depan selepas membelasah Atalanta 7-1, dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Atalanta berkunjung ke San Siro dengan penuh keyakinan selepas mereka membenam Inter Milan, Napoli dan AS Roma dalam saingan musim ini untuk meraih pencapaian terbaik pasukan setakat ini.

Namun Atalanta yang dibimbing Gian Piero Gasperini terpaksa akur dengan keputusan kalah besar ini yang turut menyaksikan kelabnya turun dua anak tangga di kedudukan keenam Serie A.

"Terlalu banyak perkara yang silap berlaku hari ini. Namun kami masih memburu tempat untuk ke Liga Europa," kata Gasperini.

Pada perlawanan itu, Icardi melengkapkan hatrik dalam tempoh 30 minit pertama (minit ke-17, ke-23 dan ke-26) sebelum Banega meledak dua gol pada ke-31 dan ke-34 untuk melengkapkan jaringan 5-1 di babak pertama.

Manakala gol tunggal Atalanta dijaringkan Remo Freuler ketika saingan berbaki tiga minit sebelum tamat babak pertama perlawanan.

Bekas pemain Atalanta, Roberto Gagliardini turut mencetak nama selaku penjaring buat Inter pada minit ke-52 sebelum Banega melengkapkan hatrik selepas menampan masuk bola hasil sepakan percuma pada minit ke-68.

Kemenangan itu membolehkan Inter melonjak ke kedudukan keempat liga, lima mata di belakang Roma. AFP.

Berita Harian X