Khamis, 9 March 2017 | 8:57am

Adam belum menjadi di litar Jerez

ADAM Norrodin. - Foto Nazran Jamel
ADAM Norrodin. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Hari pertama ujian rasmi kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia di Jerez, Sepanyol tidak berlangsung seperti yang diinginkan Adam Norrodin.

Meskipun keputusan positif dicipta pada ujian latihan persendirian di Sepang, Adam tidak mampu membawa momentum berkenaan ke Jerez, semalam.

Pelumba KBS SIC Racing Team itu melakukan 67 pusingan dengan catatan sepusingan terbaiknya satu minit 48.484 saat.

Apapun, sesi ujian masih berbaki dua hari dan Adam yakin mampu memperbaiki kelemahan yang ada.

"Apa yang kami lakukan di Sepang sangat bagus tetapi malangnya ia tidak menjadi di Jerez buat saya," kata Adam.

"Jadi kami perlu memulakan semula pelarasan. Pasukan sudah berusaha keras dan motosikal menjadi lebih baik. Masih ada beberapa perkara yang kami perlu lakukan dengan bahagian hadapan tetapi saya berasa lebih baik ketika menunggang.

"Saya hanya perlu meletakkan tumpuan terhadap tunggangan saya. Bagus sekiranya esok (hari ini) saya dapat memulakan sesi dengan lebih segar dan terus berusaha gigih dari awal lagi."

Pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dijadual berlangsung di Grand Prix (GP) Qatar, 26 Mac ini.

Berita Harian X