Sabtu, 4 March 2017 | 9:36pm

FAS serah FAM tentukan gol kontroversi

DATUK Seri Subahan Kamal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
DATUK Seri Subahan Kamal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyerahkan segala keputusan mengenai bantahan dikemukakan Kedah terhadap jaringan penyamaan kontroversi Rabu lalu, kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan itu terletak di tangan pengadil dan adalah lebih baik pengurusan pengadilan FAM melihat dan menimbang perkara itu sebelum membuat keputusan.

"Bagi saya, keputusan itu terletak di tangan pengadil dan saya rasa kalaulah pihak KFA hantar surat bantahan, saya rasa eloklah pengurusan pengadilan FAM melihat perkara itu dan berikan mereka ruang untuk membuat keputusan," katanya.

Media hari ini melaporkan KFA menyerahkan bantahan rasmi berserta video berhubung jaringan pada saat akhir kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk membantah jaringan yang diberikan pengadil kepada Selangor.

Gol itu menyebabkan hasrat Kedah untuk membawa pulang tiga mata penuh terbantut apabila Selangor menyamakan kedudukan pada saat akhir minit kecederaan menerusi jaringan kontroversi Juliano Minero hasil bola muntah ketika sepakan penalti diambil Victor Astafei.

Ia turut menjadi viral di media sosial selepas pemain import itu dilihat terlebih dahulu memasuki kotak penalti sebelum Astafei melakukan sepakan.

Sementara itu, Subahan berkata Selangor akan terus menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang tuan rumah untuk aksi Liga Super sepanjang musim ini, sehinggalah perbincangan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), selesai.

Katanya, setakat ini pasukan masih selesa beraksi di Selayang, malah pemain turut menampilkan kualiti permainan yang lebih baik.

Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan Selangor akan kembali beraksi di stadium keramatnya, Stadium Shah Alam.

"Bagi saya terlalu awal dan saya rasa benda ini kita kena rujuk kepada pihak bertanggungjawab dan itu saya serahkan kepada Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim untuk berbincang dan tengok apa yang terbaik untuk kita.

"Tapi tidak dinafikan kita (Selangor) dengan Selayang (Stadium) sudah selesa bagus, malah pemain juga dilihat menampilkan semangat permainan yang tinggi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi Selangor keluaran Lotto musim 2017 di kedai Al-Ikhsan, Batu Tiga, dekat sini, hari ini.

Berita Harian X