Jumaat, 3 March 2017 | 9:53pm

KFA serah surat bantahan gol tak sah Selangor

PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan merangkap Setiauhasa Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar (tengah) bergambar bersama kelab penyokong pasukan Kedah (KFA) pada Majlis Hi Tea KFA hari ini. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan merangkap Setiauhasa Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar (tengah) bergambar bersama kelab penyokong pasukan Kedah (KFA) pada Majlis Hi Tea KFA hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan sudah menyerahkan bantahan rasmi ke atas jaringan penyamaan Selangor pada saat akhir ketika aksi Liga Super di Stadium Selayang, Rabu lalu.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, berkata surat bantahan itu dihantar kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) hari ini, berserta bukti untuk menyokong bantahan itu.

"Kita sudah hantar hari ini... kita tak hantar surat rayuan, tetapi bantahan rasmi kepada FMLLP berkenaan keputusan pengadil pada malam itu yang memberikan jaringan kepada Selangor.

"Dari segi teknikal, FMLLP perlu bincang dengan pihak terbabit untuk lihat kembali jaringan dibuat itu dan kita dah serahkan bukti dalam bentuk video.

"Kita tak pertikaikan penalti yang diberi pengadil, tetapi pencerobohan yang berlaku dalam kotak D sebelum sepakan penalti diambil," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama lapan kelab penyokong bola sepak Kedah, di sini.

Rabu lalu, hasrat Kedah membawa pulang tiga mata penuh terbantut apabila Selangor menyamakan kedudukan melalui pada masa tambahan saat-saat akhir perlawanan, namun jaringan Juliano Minero hasil bola muntah ketika sepakan penalti diambil Victor Astafei, mencetus kontroversi kerana ia didakwa tidak sah.

Aminuddin ketika ditanya, mengakui risiko yang bakal dilalui Kedah sekiranya bantahan dibuat itu dilihat dari sudut emosi, khususnya pengadil, namun menegaskan tindakan KFA bukan untuk mencari salah sesiapa.

"Kita tak nak salahkan mana-mana pihak tetapi kita khuatir dengan kecuaian pihak terbabit yang boleh menjejaskan kualiti permainan.

"Kita mohon FMLLP selaku pengelola liga ini melihat isu berkenaan, begitu juga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) supaya mutu pengadilan negara dipandang serius.

"Saya tak kata mutu pengadilan kita lemah, kerana ramai pengadil kita terbukti memiliki kelebihan... saya cuma percaya pengadil perlu lebih peka, fokus dengan keadaan semasa untuk pastikan mutu permainan tidak terjejas berikutan keputusan yang dibuat," katanya.

Berita Harian X