Ahad, 26 Februari 2017 | 8:34am

Sevilla daki tangga kedua La Liga

PEMAIN pertahanan Sevilla Gabriel Mercado (kanan) dan rakan sepasukan Wissam Ben Yedder meraikan selepas menjaringkan gol semasa perlawanan antara Betis FC dan Sevilla FC yang berlangsung di Stadium Villamarin Benito di Seville, Sepanyol.- Foto EPA
PEMAIN pertahanan Sevilla Gabriel Mercado (kanan) dan rakan sepasukan Wissam Ben Yedder meraikan selepas menjaringkan gol semasa perlawanan antara Betis FC dan Sevilla FC yang berlangsung di Stadium Villamarin Benito di Seville, Sepanyol.- Foto EPA

SEVILLE, Sepanyol: Bos Sevilla, Jorge Sampaoli memuji kebangkitan luar biasa yang ditampilkan pasukannya pada babak kedua untuk membenam Real Betis 2-1 sekali gus mendaki ke tangga kedua La Liga, awal pagi tadi.

Terlebih dulu ketinggalan menerusi jaringan pertahanan Betis, Riza Durmisi berpunca daripada sepakan percuma pada babak pertama, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi Gabriel Mercado.

Gol kemenangan dijaringkan oleh kapten pasukan, Vicente Iborra sekali gus meneruskan deretan tanpa kalah Sevilla kepada musuh tetangganya itu kepada 10 perlawanan.

Kemenangan turut menyaksikan Sevilla kini mengumpul jumlah mata yang sama dengan pendahulu La Liga, Real Madrid dengan 52 mata namun juara Eropah itu masih memiliki kelebihan dua perlawanan termasuk bertemu Villarreal, awal pagi esok.

Satu lagi kelab gergasi Sepanyol, Barcelona tergelincir ke tangga ketiga dengan 51 mata namun boleh mengembalikan kedudukan kedua andai menang ke atas Atletico Madrid.

"Pada babak pertama, kami tidak mencipta sebarang peluang langsung untuk mendapatkan sesuatu yang positif dan memerlukan 'pemberontakan' pada babak kedua untuk ia berlaku," kata Sampaoli.

"Betis adalah satu daripada pasukan yang banyak kali merosakkan kami, namun kami perlu terus berfikir mengenai apa yang kami lakukan pada babak kedua untuk bermimpi kekal di puncak liga."

Suasana di Stadium Benito Villamarin sepanjang 45 minit pertama tampak cukup menggembirakan buat penyokong pelawat namun selepas 90 minit permainan, kekalahan diakui cukup perit untuk ditelan Betis.

"Ia kekalahan yang sukar untuk kami terima," kata pemain tengah Betis, Dani Ceballos. "Dua gol yang mereka jaringkan berpunca daripada kesilapan budak sekolah dan ia tidak boleh berlaku, terutama sekali kepada musuh setempat."

Sementara itu, Valencia yang masih segar dengan kemenangan ke atas Real Madrid, pertengahan minggu lalu kembali tertunduk apabila tewas 2-1 kepada Alaves.

Leganes dalam pada itu keluar daripada zon penyingkiran apabila membelasah satu lagi kelab bergelut, Deportivo la Coruna 4-0 untuk merekod kemenangan pertama pasukan itu sejak November tahun lalu.

Mereka kini lima mata di atas zon penyingkiran dengan Deportivo terperosok ke tangga ke-17. - AFP

Berita Harian X