Ahad, 12 Februari 2017 | 4:35pm

SSPL: KB Muar raih tempat ketiga

GENTING HIGHLANDS: Juara bertahan, Kelab Badminton (KB) Muar menamatkan saingan SS Purple League (SSPL) tahun ini di tempat ketiga, selepas menewaskan KB Bandar Utama Dragons, 11-6 pada aksi penentuan ke-3/4 di Arena of Stars, Resort World Genting, sebentar tadi.

KB Muar yang tewas kepada KB Puchong United di pentas separuh akhir, mengutip mata pendahuluan 3-2 apabila pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli menewaskan Emil Holst dari Denmark, 9-11, 11-8, 4-11, 11-8, 2-1.

Bagaimanapun perseorangan wanita KB Bandar Utama Dragons, Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat menundukkan Shen Ya Ying (China), 11-8, 11-10, 10-11, 5-11, 11-7 (3-2), sekali gus mengikat kedudukan mata 5-5.

KB Muar melebarkan kutipan tiga mata melalui acara beregu lelaki hasil aksi cemerlang bekas pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, Lee Yong Dae dan Tan Wee Gieen (Malaysia) yang mengetepikan saingan Mak Hee Chun (Malaysia) dan Ou Xuanyi (China), 11-8, 11-7, 11-9.

Beregu campuran KB Muar melengkapkan kemenangan apabila Chan Peng Soon (Malaysia) dan bekas pemain nombor satu dunia, Lee Hyo Jung (Korea Selatan) menewaskan Chow Pak Chuu (Malaysia) dan Yap Zhen (Malaysia), 11-9, 6-11, 11-9, 11-6.

Pengurus pasukan, M Jivananthan Nair ketika ditemui sejurus tamat perlawanan menyifatkan kemenangan itu jadi pengubat kerana mereka bergelar juara musim lalu, tetapi tetap gembira melihat peningkatan dalam pasukannya.

"Tempat ketiga pasti tidak cukup untuk menjadi pengubat gagal ke final tapi sebagai satu pasukan, kami tetap gembira kerana ada peningkatan di dalam pasukan.



"Disebabkan kami tidak beraksi di suku akhir, ia menjejaskan tumpuan pemain untuk menyesuaikan diri. Ketiadaan Lee Hyun IL (Korea Selatan) juga memberi kesan tapi secara keseluruhannya, saya gembira kerana mereka saling bekerjasama.

"Untuk musim depan, kami perlu menilai soal keselesaan dan keserasian pemain serta prestasi semasa di peringkat antarabangsa bermula dari sekarang sehingga ke fasa pemilihan nanti," katanya.

Gelaran selaku pemenang tempat ketiga menyaksikan KB Muar membawa pulang hadiah wang tunai RM170,000 manakala KB Bandar Utama Dragons yang menamatkan saingan di tempat keempat menerima RM150,000.

Untuk rekod, enam pasukan berentap pada peringkat kalah mati bagi merebut gelaran SSPL musim ini.

Berita Harian X