Sabtu, 11 Februari 2017 | 12:34am

KB Puchong, Petaling Jaya berentap final SSPL

GENTING HIGHLANDS: Kelab Badminton (KB) Puchong United dan KB Petaling Jaya akan membuat perhitungan pada aksi final saingan badminton SS Purple League (SSPL) di sini, pada Ahad ini.

Kedua-dua kelab itu mengesahkan slot ke peringkat itu selepas menundukkan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir yang berlangsung Arena of Stars, Resort World Genting, di sini, hari ini.

KB Puchong United menjadi pasukan pertama mara selepas menundukkan juara bertahan, KB Muar dengan keputusan 11-4 pada saingan pada sebelah petang.

Dan KB Petaling Jaya pula menyusul selepas itu, apabila menewaskan KB Bandar Utama Dragons pada satu lagi saingan separuh akhir yang berakhir sebentar tadi, menerusi perbezaan mata selepas kedudukan mereka terikat 12-12.

Sementara itu, KB Muar dan KB Bandar Utama Dragons pula akan beraksi bagi penentuan tempat ke-3/4 yang dijadualkan pada pagi Ahad ini juga.

Sebagai rekod, sebanyak enam pasukan berentap pada peringkat kalah mati bagi merebut slot ke final SSPL musim ini yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1.5 juta.

Keputusan:

Separuh akhir -

KB Puchong United mn KB Muar, 11-4

KB Petaling Jaya mn KB Bandar Utama Dragons, 12-12

*KB Petaling Jaya mara ke final dengan kelebihan mata

Hari Ini:

Penentuan tempat ke-7/8 - KB Kepong mln KB Serdang, 4 ptg

Penentuan tempat ke-5/6 - KB Petaling mln KB Ampang Jaya, 8 mlm

*Semua perlawanan berlangsung di Arena of Stars, Resort World Genting

Berita Harian X