Jumaat, 10 Februari 2017 | 12:24am

KB Petaling Jaya iringi KB Puchong ke separuh akhir

GENTING HIGHLANDS: Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya berhempas-pulas hingga ke set terakhir untuk mengesahkan tempat separuh akhir saingan badminton SS Purple League di Arena of Stars, Resort World Genting, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, KB Petaling Jaya akan bertemu KB Bandar Utama Dragons di pusingan separuh akhir pada jam 8 malam, esok.

Terdahulu pada pertemuan hari ini, Petaling membuktikan kekuatan apabila mencatat kemenangan menerusi perseorangan pertama, Liew Daren.

Daren menewaskan Dani Harsheel Alpesh dengan keputusan 11-6, 8-11, 3-11, 11-10, 5-4.

Bagaimanapun, Petaling Jaya enggan mengalah apabila perseorangan wanita, Deng Xuan mengetepikan saingan bekas perseorangan nombor satu dunia, Wang Yihan, 11-7, 4-11, 11-9, 2-11, 11-7.

Petaling gagal menyamakan kedudukan dalam perlawanan ketiga apabila pasangan Chen Tang Jie dan Goh C Shem tewas kepada regu Petaling Jaya, 7-11, 11-4, 6-11, 9-11.

Peluang Petaling terbuka kembali untuk ke separuh akhir apabila beregu campuran Riky Widianto/Zhao Yunlei menundukkan Lim Chiew Sien/ Shin Bark Cheol, 11-2,11-8, 9-11, 11-2, menjadikan kedudukan 9-9.

Pemain perseorangan profesional negara, Goh Giap Chin akhirnya muncul wira apabila berjaya menundukkan Kenichi Tago 11-9, 6-11, 11-4, 6-11, 11-3 untuk membantu Petaling Jaya mara ke separuh akhir.

"Saya tidak rasa cemas ketika bertemu Tago kerana saya hanya pemain underdog dan saya tidak fikir hendak menang ataupun kalah.

"Saya hanya ingin buat yang terbaik. Jadi untuk peringkat separuh akhir bertemu Bandar Utama, saya akan buat habis-habisan dan saya sudah bersedia," kata Giap Chin sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, pada aksi suku akhir pertama yang berlangsung petang tadi, Puchong mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan KB Ampang Jaya dengan keputusan 11-5.

Puchong akan bertemu juara bertahan, KB Muar yang menjuarai peringkat round robin pada jam 4 petang, esok.

Keputusan suku akhir:

KB Puchong United mn KB Ampang Jaya, 11-5

KB Petaling Jaya mn KB Petaling, 12-11

Berita Harian X