Khamis, 9 Februari 2017 | 8:27pm

KB Puchong United mara separuh akhir

GENTING HIGHLANDS: KB Puchong United mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan KB Ampang Jaya, 11-5 pada saingan badminton SS Purple League (SSPL) yang berlangsung di Arena of Stars, Resort World Genting, di sini, hari ini.

KB Puchong akan bertemu juara bertahan, KB Muar yang mendapat 'bye' di peringkat separuh akhir petang esok.

Terdahulu pada aksi suku akhir yang berlangsung hari ini, perseorangan pertama Chou Tien Chen mencatatkan kemenangan 11-9, 11-8, 11-6 kepada Ajay Jayaram untuk memberikan Puchong kemenangan pertama.

Puchong terus melebarkan penguasaan melalui perseorangan wanita diwakili Tai Tzu Ying yang menewaskan pemain Ampang dengan keputusan, 11-2, 8-11, 11-6, 9-11, 11-5, 3-2.

KB Ampang Jaya bagaimanapun enggan mengalah apabila mencatatkan kemenangan menerusi beregu lelaki gandingan Lukhi Nugroho/Muhammad Syawal Ismail dengan keputusan 11-8, 10-11, 6-11, 11-10, 7-11 terhadap wakil Puchong, Lim Khim Wah/Tan Chee Tean.

Beregu campuran, Christinna Pederson/Yoo Yeong Seong mewakili Puchong memenangi pertemuan terhadap Desiree Siow/Tan Yip Jiun, 11-8, 11-4, 11-5, sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir.

Sementara itu, pada aksi perebutan slot penentuan tempat ke 7/8 yang turut berlangsung hari ini, KB Serdang menewaskan KB Bangsar Hawks menerusi perbezaan mata biarpun mencatatkan keputusan seri 9-9.

Serdang akan bertemu KB Kepong bagi menentukan tempat ke 7/8 SSPL yang akan berlangsung Sabtu ini.

Dalam satu lagi pertemuan peringkat suku akhir hari ini, KB Petaling akan bertemu KB Petaling Jaya yang dijadualkan pada jam 8 malam ini.


Keputusan -
Suku akhir 1: KB Puchong United mn KB Ampang Jaya, 11-5

KB Serdang mn KB Bangsar Hawks, 9-9


*KB Serdang layak berdasarkan kiraan mata

Berita Harian X