Jumaat, 3 Februari 2017 | 8:48pm

Jayaram, Tien Minh diharap ubah nasib Ampang Jaya

AJAY Jayaram dan Nguyen Tien Minh.
AJAY Jayaram dan Nguyen Tien Minh.

KUALA LUMPUR: Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya berharap kehadiran dua muka baharu yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan SS Purple League (SSPL) dibuka baru-baru ini dapat membantu kelab itu mara lebih jauh dalam pusingan kalah mati musim ini.

KB Ampang Jaya yang menghuni tangga kelima dalam saingan liga mendapatkan khidmat pemain dari India, Ajay Jayaram dan Nguyen Tien Minh dari Vietnam bagi memperkuatkan pasukan itu.

"Untuk peringkat kalah mati Purple League di Genting Highlands nanti, kita masih dalam persiapan dengan memperbaiki kelemahan pasukan terutama dalam acara perseorangan lelaki.

"Sebab itu, kami mendapatkan dua pemain perseorangan iaitu Ajay dan Tien Minh," kata jurulatih KB Ampang Jaya, Ho Khek Mong.

Mengulas pertemuan dengan menentang KB Puchong United di peringkat kalah mati nanti, Khek Mong berkata:

"Saya rasakan peluang adalah 50-50 di mana mereka mempunyai kekuatan dalam acara perseorangan manakala kami tetap yakin pemain beregu kami seperti Lukhi Nugroho dan Muhammad Syawal akan menyumbang mata buat pasukan.

"Sebab itulah saya membawa masuk pemain perseorangan lelaki kerana kami ingin mencuri mata dari acara itu sambil mengharapkan pemain beregu konsisten dalam mendapatkan kemenangan kepada pasukan."

Pada saingan SSPL musim lalu, KB Ampang Jaya menduduki tempat ketujuh.

Gelaran juara musim lalu menjadi milik KB Muar City manakala KB Petaling Jaya muncul naib dan KB Puchong United ketiga.

Selain KB Ampang Jaya, lima lagi pasukan turut mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati - KB Muar, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya dan KB Petaling.

Mereka akan membuat perhitungan dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Resorts World Genting bagi merebut gelaran juara SSPL musim ini.

Berita Harian X