Selasa, 31 Januari 2017 | 7:03pm

Padang SSMZA rosak, Terengganu guna SSINS

KUALA TERENGGANU: Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) kembali menjadi gelanggang rasmi buat pasukan Terengganu selepas padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus mengalami kerosakan akibat cuaca yang tidak menentu.

Malah, aksi pembuka kempen musim ini ketika menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di SSMZA, 20 Januari lalu hanya berlangsung 11 minit sebelum pengadil membatalkan perlawanan akibat masalah padang.

Jumaat lalu, pasukan Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim memulakan aksi pertama di SSINS dengan langkah kanan apabila menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0.

Difahamkan, permohonan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menukar gelanggang dari SSMZA ke SSINS hingga tamat pusingan pertama Liga Perdana diluluskan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP).

"FMLPP meluluskan pertukaran gelanggang pasukan Terengganu dari SSMZA ke SSINS selepas mendapati kerosakan padang yang berlaku itu boleh menyebabkan risiko kecederaan kepada pemain selain menjejaskan mutu permainan.

"Pertukaran gelanggang ini juga dibuat bagi mengelakkan mengganggu perjalanan liga seperti pembatalan aksi pembuka tirai pada 20 Januari lalu," kata sumber itu kepada BH Sukan sebentar tadi.

Sumber itu berkata, skuad Penyu akan bermain di SSINS sehingga berakhir pusingan pertama sementara kerja baik pulih padang SSMZA siap sepenuhnya.

Berita Harian X