Isnin, 30 Januari 2017 | 8:52pm

Zaqhwan akui sukar pertahan gelaran

MD Zaqhwan Zaidi
MD Zaqhwan Zaidi

KUALA LUMPUR: Juara dua kali Kejuaraan Motosikal Asia, Md Zaqhwan Zaidi mengakui tugasnya untuk mempertahankan gelaran kelas SuperSports 600cc musim ini agak sukar.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu berkata, buat masa ini dia sedar prestasi semasa jentera Yamaha makin meningkat dan berharap Honda dapat melakukan sesuatu bagi meneruskan keupayaan memberi saingan kepada pasukan lain.

"Semuanya akan dapat dinilai daripada ujian pramusim nanti (Mac di Sepang)," kata penunggang berusia 22 tahun yang pertama kali meraih gelaran berkenaan pada tahun 2014.

"Apapun, saya dapat lihat yang Yamaha ketika ini agak kuat. Jadi, untuk musim ini, Honda perlu melakukan sesuatu bagi mengekalkan apa yang diraih sebelum ini," kata bekas penunggang Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia itu.

Pada pusingan terakhir musim 2016 di Litar Buriram, Thailand, Disember lalu, Zaqhwan mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan mengumpul 162 mata.

Jumlah mata diraihnya mengatasi pelumba T Pro Yuzy Honda NTS With WOW dari Jepun, Tomoyoshi Koyama dengan kelebihan empat mata manakala Azlan Shah Kamaruzaman (Bike ART Racing Kawasaki ) di kedudukan ketiga, 142 mata.

Pusingan pertama musim baharu ARRC 2017 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), April ini.

Berita Harian X