Isnin, 30 Januari 2017 | 11:31am

Amirul Hadi tekad julang JDT di Bangkok

PEMAIN tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Amirul Hadi Zainal (dua dari kanan). - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Amirul Hadi Zainal (dua dari kanan). - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Amirul Hadi Zainal enggan lagi dipalit kekecewaan musim lalu sebaliknya berazam untuk beri persembahan terbaik bagi memburu kemenangan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam ini.

Skuad Harimau Selatan akan memulakan pemburuan ke saingan play-off apabila menentang Bangkok United pada aksi di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand.

Walaupun Amirul Hadi mengakui agak sukar untuk menundukkan skuad kendalian Alexandre Polking, dalam permainan bola sepak tidak mustahil skuad Harimau Selatan mampu melakar kejutan.

"Sudah tentu kami tidak mahu lepaskan peluang untuk memburu slot ke saingan play-off dan latihan yang lebih agresif kendalian jurulatih, Benjamin Mora yang begitu mahukan kemenangan. Walaupun kita tahu laluan agak sukar tetapi kami akan berusaha dengan komitmen tinggi.

"Pada aksi musim lalu, kita gagal untuk melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas 3-0 kepada Muangthong United menerusi sepakan penalti dan kami berazam untuk tebus kekalahan lalu apabila berdepan satu lagi kelab dari Thailand.

"Sama ada diturunkan atau sebaliknya, saya kena bersedia dan jika terpilih dalam kesebelasan utama sudah tentu akan beraksi dengan lebih baik bagi memastikan pemain tengah Bangkok United tidak bermaharajalela di posisi itu," katanya.

Amirul Hadi yang sudah beraksi pada dua perlawanan Liga Super ketika menentang Kedah dan FELDA United menggantikan Hariss Harun yang bakal dipinjamkan ke kelab Greece atau Portugal berjaya menguatkan posisi tengah apabila membantu kapten Safiq Rahim.

Dia juga mengakui latihan pra-musim di Thailand baru-baru ini beri pendedahan terbaik untuk mengenali corak permainan pemain-pemain dari negara Gajah PutiH yang memiliki skil dan kerap beraksi dengan pantas.

"Kami juga mengkaji cara permainan pemain-pemain Bangkok United menerusi rakaman video dan jelas mereka beraksi dengan corak permainan pantas dan kerap menggerakkan bola dan kita tidak boleh leka malah perlu berwaspada kelicikan pemain kelab itu," kata Amirul Hadi.

Berita Harian X