Isnin, 16 Januari 2017 | 2:16pm

Giliran Mohd Ramdan wakili negara ke Moto2

Mohd Ramdan Rosli (kanan). - Foto BERNAMA
Mohd Ramdan Rosli (kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi, seorang lagi penunggang berbakat negara, Mohd Ramdan Rosli berkemungkinan beraksi musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto2 pada musim ini.

Difahamkan, perbincangan di antara Ramdan, 21, yang beraksi di Kejuaraan Eropah dalam kelas Moto2 musim lalu dan beberapa kali berlumba menerusi tiket wildcard di MotoGP bersama penajanya ketika ini, tampak positif.

Tahun lalu, pelumba kelahiran Klang, Selangor itu adalah salah seorang daripada dua penunggang yang berada dalam Program Pembangunan Bakat PETRONAS, selain Hafizh Syahrin.

Ramdan yang dihubungi sebelum ini berkata, dia memang meletakkan harapan tinggi untuk beraksi sepenuh musim di pentas perlumbaan terbabit, namun segala-galanya bergantung kepada keputusan pasukan.

Begitupun menurut sumber yang enggan didedahkan, peluang untuk Ramdan yang menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia atas tiket wild card tahun lalu di tangga ke-12, tampak cerah.

"Kita akan mengetahui mengenai di mana Ramdan berlumba pada penghujung bulan ini, ketika ini tiada apa yang boleh saya kongsikan," kata Pengurus pasukan PETRONAS AHM Malaysia, Kenny Chua ketika dihubungi.

Pada perlumbaan Kejuaraan Eropah pada musim lalu, Ramdan menamatkan saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan dan mengumpul keseluruhan 42 mata daripada 11 perlumbaan.

Begitupun, berdasarkan senarai tidak rasmi pelumba yang bakal beraksi bagi musim 2017 di laman web rasmi MotoGP, tiada nama Ramdan dalam senarai terbabit dengan dua penunggang dari Kejuaraan Eropah, Tetsuta Nagashima dan Iker Lecuona berada dalam senarai terbabit.

Selain Hafizh Syahrin dan Khairul Idham yang nama mereka sudah berada dalam senarai awal pelumba di Moto2, negara turut mempunyai wakil tunggal beraksi dalam kelas Moto3 iaitu Adam Norrodin.

Berita Harian X