Ahad, 15 Januari 2017 | 8:08am

Jaringan Giroud, Sanchez baiki peluang Arsenal

 ALEXIS Sanchez (tengah) meledak gol ke-14 musim ini ketika membantu Arsenal merakam kemenangan 4-0 ke atas Swansea.
ALEXIS Sanchez (tengah) meledak gol ke-14 musim ini ketika membantu Arsenal merakam kemenangan 4-0 ke atas Swansea.

SWANSEA: Alexis Sanchez meledak gol ke-14 musim ini ketika membantu Arsenal merakam kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas kelab bergelut, Swansea dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Penyerang berbisa Perancis, Olivier Giroud, membuka tirai jaringan pelawat pada babak pertama perlawanan sebelum gol sendiri Jack Cork dan Kyle Naughton pada babak kedua meletakkan Arsenal kian selesa sebelum Sanchez melengkapkan jumlah jaringan pada minit ke-73.

Kemenangan menyaksikan Arsenal mendaki ke tangga ketiga liga mengatasi Liverpool menerusi perbezaan jaringan namun The Reds mampu merampas kembali kedudukan andai seri atau menewaskan Manchester United, malam ini.

Kekalahan buat Swansea dan kemenangan Hull ke atas Bournemouth menyaksikan kelab itu terjerumus ke tangga tercorot liga.

"Kami bertuah memperoleh gol-gol itu, namun peluangnya sudah ada," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger, sambil mendedahkan Giroud menghadapi kecederaan buku lali.

"Ada banyak pasukan di sekeliling kami dan semuanya bermain dengan baik. Kami hanya boleh fokus kepada keputusan kami dan berharap ia memberi kami peluang."

Bagi pengurus Swansea, Paul Clement yang sebelum ini pembantu pengurus Carlo Ancelotti di Bayern Munich sebelum menggantikan Bob Bradley, perlawanan babak kedua tampak jelas berat sebelah.

Tuan rumah tampil dengan prestasi lebih baik pada babak pertama dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-10 yang memaksa penjaga gol Gunners, Petr Cech, melakukan aksi menyelamat hebat bagi menghalang rembatan Naughton.

Tiga minit berselang, cubaan Gylfi Sigurdsson dari jarak enam meter hanya beberapa inci tersasar dengan Arsenal memerlukan sehingga minit ke-27 untuk mencipta peluang namun cubaan Sanchez itu berjaya diselamatkan Lukasz Fabianski.

Arsenal berjaya memperoleh jaringan pembukaan pada minit ke-37 menerusi gerakan menarik membabitkan Mesut Ozil dan Aaron Ramsey sebelum menambah tiga lagi gol pada babak kedua. - AFP

Berita Harian X