Jumaat, 6 Januari 2017 | 7:07pm

JDT, Buriram United jalin kerjasama bangunkan bola sepak

JOHOR BAHRU: Aksi persahabatan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Buriram United FC pada 14 Januari ini dilihat sebagai serampang dua mata tatkala kedua-dua kelab berkenaan bakal menjalin kerjasama dalam pembangunan bola sepak.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards, berkata jemputan Buriram United untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan perbincangan mengenai kerjasama sememangnya membuktikan betapa kelab dari Thailand itu menghargai usaha JDT membangunkan bola sepak di Malaysia.

Katanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijemput oleh Presiden Buriram United FC, Newin Chidchob dan akan ada perbincangan kedua-dua pihak membabitkan JDT dan kelab dari Thailand itu.

"Kita sudah mengadakan kerjasama dengan kelab di Eropah iaitu Borussia Dortmund dan kelab Liga Jepun 1 (Liga J1) Consadole Sapporo dan kini akan ada kerjasama pula bersama Buriram United.

"JDT adalah kelab pertama di negara ini mengadakan kerjasama dengan beberapa kelab ternama dan saya lihat semuanya hasil kesungguhan Tunku Ismail yang begitu serius mahu memajukan bola sepak di Johor.

"Buriram United adalah kelab yang terbaik di Asia Tenggara malah projek pembangunan dan modul perancangan seakan-akan seperti JDT dan ia langkah tepat untuk bekerjasama dengan kelab berkenaan," kata Edwards ketika ditemui BH Sukan selepas aksi persahabatan JDT menentang Geylang International FC dari Singapura di Padang Seri Gelam, hari ini.

Edwards juga menegaskan betapa kerjasama itu meluas tatkala kedua-dua kelab bakal melakukan pertukaran pemain dan juga program akar umbi terutama akademi bola sepak.

Malah katanya, Tunku Ismail juga sedang merancang untuk mengadakan kerjasama dengan kelab ternama di China memandangkan kelab-kelab di sana tampak begitu agresif dalam pembangunan bola sepak.

"Kita lihat perspektif lebih meluas di China dan dalam masa terdekat bakal ada kerjasama dengan Negara Tembok Besar itu namun masih belum diputuskan kelab mana yang bakal mengadakan kerjasama," kata Edwards.

Berita Harian X