Khamis, 5 Januari 2017 | 1:22pm

JDT sudah hampir lengkap - Gomez

JURULATIH JDT, Mario Gomez. - Foto Hairul Anuar Rahim
JURULATIH JDT, Mario Gomez. - Foto Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez percaya pasukannya sudah hampir lengkap sepenuhnya menjelang aksi pembukaan Piala Sumbangsih menentang Kedah pada 20 Januari ini.

Sambil mengakui gembira dengan perkembangan ditunjukkan Harimau Selatan, Gomez seperti memberi gambaran awal betapa ayam tambatan baharunya dari Argentina, Brian Fereira sudah mula menyesuaikan diri.

"Inilah perancangan jangka masa panjang kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim dan ia sedang berjalan dengan lancar. Tambahan lagi, Brian Fereira betul-betul mengagumkan saya dengan usaha kerasnya.

"JDT kini sudah 90 peratus lengkap dan kami masih menanti dua orang lagi pemain yang akan tiba beberapa hari lagi untuk melengkapkan skuad JDT 2017," katanya menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Katanya, baki 10 peratus hanya akan lengkap dalam tempoh beberapa hari lagi tatkala masa makin mencemburui juara bertahan Liga Super 2016 itu yang akan berlepas ke Bangkok pada Sabtu ini bagi menghadapi aksi pra-musim.

"Kami akan memaklumkan kepada penyokong sebaik sahaja pemain tersebut tiba dan saya cukup teruja untuk melihat pilihan dan kepelbagaian yang boleh dilakukan oleh pasukan. Dalam masa sama juga kami mempunyai pemain yang baik dalam skuad JDT II.

"Saya benar-benar amat teruja serta percaya bahawa kelab ini sedang melangkah ke hadapan daripada segi kewangan dan falsafah. Kami berada dalam landasan yang betul," katanya.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini dikatakan melepaskan Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz kerana pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2016 itu dilaporkan meminta gaji tinggi.

Di Bangkok, JDT akan menghadapi tiga siri perlawanan persahabatan dengan aksi pertama menentang Chonburi FC pada 10 Januari disusuli menentang Air Force Central FC, 11 Januari dan mengakhiri aksi pra-musim berdepan Buriram United FC, 14 Januari.

Berita Harian X