Selasa, 3 Januari 2017 | 9:22pm

Ilso Larsen kini sah milik Kedah

KEN Ilso Larsen
KEN Ilso Larsen

ALOR SETAR: Pemain kelahiran Denmark, Ken Ilso Larsen, 30, kini sah menyarung jersi pasukan Kedah selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi musim Liga Malaysia 2017.

Media KFA melalui laman rasmi FB hari ini, membuat pengumuman memaklumkan tentang pengesahan pemain itu yang akan mengisi posisi penyerang skuad Helang Merah untuk musim 2017.

Beliau yang dikenali sebagai penyerang prolifik sebelum ini, bakal bergandingan dengan dua lagi import Kedah iaitu Liridon Krasniqi dari Kosovo dan Sandro Da Silva dari Brazil yang sudah mengesahkan tempat di posisi tengah bagi mengukuhkan jentera serangan skuad Helang Merah untuk musim ini.

Rekod dan pencapaian serta pengalaman beraksi dalam Liga Denmark, Belanda, Jerman, China dan Singapura berjaya menambat hati ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe bagi mengisi posisi penyerang yang selama ini dicari Kedah.

Ken Ilso yang tampil ke Alor Setar dan sudah memulakan latihan bersama Kedah sejak 27 Disember lalu, juga memaklumkan melalui laman FB betapa beliau berharap mampu menghasilkan gol dalam misi membantu Kedah mencapai kemenangan yang disasarkan.

MEDIA KFA melalui laman rasmi FB hari ini.
MEDIA KFA melalui laman rasmi FB hari ini.

"Saya akan menjadi sebahagian dari Kedah dan saya mahu memberi sumbangan gol terbaik untuk pasukan ini dalam musim 2017," katanya.

Beliau yang digelar 'King Ken' oleh peminat di Singapura sebelum ini, mempamerkan aksi mengagumkan sejak menyertai kelab Home United pada 2015 dan turut mencipta rekod menarik dengan kelab berkenaan dengan 30 gol dalam 41 perlawanan.

Penyerang prolifik ini juga digelar 'Danish Dynamite' ketika beraksi di Bundesliga (Liga Jerman) dan pernah bersama kelab Fortuna Dusseldolf dari 2010 hingga 2013.

Penyerang kelahiran Denmark ini juga pernah menyarung jersi kebangsaan negaranya untuk skuad Bawah 19 pada tahun 2005, Bawah 20 (2006) dan Bawah 21 (2008).

Berita Harian X