Isnin, 2 Januari 2017 | 7:55am

Gol 'kala jengking' Giroud lonjak Arsenal

PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud (tengah) diasak dua pemain Crystal Palace pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates. London, awal pagi tadi. Arsenal menang 2-0. - Foto EPA
PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud (tengah) diasak dua pemain Crystal Palace pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates. London, awal pagi tadi. Arsenal menang 2-0. - Foto EPA

LONDON: Olivier Giroud menyumbat gol 'kala jengking' menakjubkan sekali gus membantu Arsenal berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 pada aksi Tahun Baharu ke atas Crystal Palace, pagi tadi.

Jaringan spontan menakjubkan daripada Giroud itu mengimbau kembali gol pemain Manchester United, Henrikh Mkhitaryan dengan Alex Iwobi turut menemui gawang di Stadium Emirates.

Giroud memberitahu BBC: "Bukan mudah menyatakan ia adalah yang terbaik. Saya sedikit bertuah tetapi itu satu-satunya yang saya boleh lakukan. Bola berada di belakang saya dan saya cuba mengenakannya dengan tumit."

Kemenangan itu meletakkan Arsenal kini sembilan mata di belakang pendahulu Chelsea dan mereka menyertai kelompok empat terbaik bersama Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat selepas melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Watford.

Arsenal yang beraksi tanpa Mesut Ozil, menamatkan minggu lalu dengan tiga mata di bawah penghuni tangga kedua Liverpool manakala seteru dari utara London, Spurs ketinggalan satu mata di belakang, mengatasi City menerusi perbezaan jaringan.

Sementara itu, penjaga gol Palace, Hennessey menggambarkan jaringan berkenaan sebagai 'jaringan luar biasa' dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger turut bersetuju dengannya.

"Sepanjang tahun, saya dibolosi oleh penyerang yang hebat - (Dennis) Bergkamp, (Thierry) Henry," katanya.

"Kamu mengingatinya kerana mereka dikaitkan dengan gol istimewa. Ini akan menjadi gol Giroud untuk sepanjang masa," katanya.

Gol kedua Arsenal dijaringkan penyerang Nigeria, Iwobi pada minit ke-56 menerusi tandukan selepas percubaan Scott Dann disekat hantaran Monreal yang berputar di udara. - AFP

Berita Harian X