Ahad, 1 Januari 2017 | 12:34pm

Ranieri anggap gol Slimani 'karya agung'

TONGGAK Leicester City, Islam Slimani, (kiri) ketika menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang West Ham United di Stadium King Power, Leicester, semalam. - Foto AP
TONGGAK Leicester City, Islam Slimani, (kiri) ketika menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang West Ham United di Stadium King Power, Leicester, semalam. - Foto AP

LEICESTER: Claudio Ranieri percaya Leicester City mampu menampung ketiadaan tonggak, Islam Slimani yang akan mengharungi kempen Piala Negara-Negara Afrika sekalipun peledak Algeria itu memainkan peranan penting ketika menewaskan West Ham, awal pagi tadi.

Slimani yang dibeli dengan rekod STG30 juta (RM166.18 juta) dan muncul pemain termahal kelab itu menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 tuan rumah ke atas West Ham sebelum terpaksa diketepikan selepas kunjungan Leicester ke Middlesbrough, esok.

Selain Slimani, rakan senegaranya, Riyad Mahrez juga terpaksa meninggalkan kelab itu untuk tempoh sebulan namun Ranieri akan memperoleh kembali penyerang berbisanya, Jamie Vardy selepas aksi dengan Middlesbrough.

Sambil mengakui penyandang juara Inggeris itu tidak akan dihimpit masalah dengan ketiadaan Slimani, pengurus kelahiran Itali itu mengakui bekas penyerang Sporting Lisbon itu berterusan menampilkan peningkatan.

"Kini Vardy sudah kembali, saya juga memiliki Leonardo Ulloa, saya punya Shinji Okazaki dan saya mempunyai beberapa pemain yang bagus dan saya amat tenang dan yakin dengan semua pemain saya," kata Ranieri.

"Sudah tentu Slimani boleh meningkat. Apabila seseorang tiba dari negara lain, ia bukan mudah dan sesetengah pemain memerlukan enam ke tujuh bulan malah setahun untuk mengadaptasi atmosfera bola sepak Inggeris.

"Dia sudah menjaringkan enam gol dan bagus untuk kami namun kami perlu menjadikannya lebih baik kerana dia mempunyai kualiti yang amat baik, jadi kadang-kala dia melakukan kesilapan kerana amat penat."

Mengulas gol kemenangan Slimani menerusi tandukan, Ranieri menggelarnya sebagai "karya agung."

"Apabila bola tiba menerusi hantaran, Slimani jelas menakjubkan. Kami hanya perlu terus menghantar bola kepadanya," katanya yang tetap mengakui 2016 sebagai tahun yang istimewa buat sesiapa saja di dalam pasukan itu termasuk peminat. - AFP

Berita Harian X