Khamis, 29 Disember 2016 | 8:36am

Rekod tanpa kalah KB Petaling Jaya lebur

AKSI Sayaka Takahasi mewakili KB Puchong United ketika berdepan KB Petaling Jaya, semalam.
AKSI Sayaka Takahasi mewakili KB Puchong United ketika berdepan KB Petaling Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR:  Rekod tanpa kalah Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya dalam empat perlawanan akhirnya lebur selepas tewas kepada KB Puchong 11-9, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Cyberjaya, KB Puchong United berjaya menamatkan rekod cemerlang KB Petaling Jaya dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini.

Walaupun tewas, namun jurulatih KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Sebenarnya kita kalah tapi kita tahu atas kertas KB Puchong United sememangnya lawan yang kuat untuk kita. Kita kalah tipis 9-11 saja, bagi saya pemain sudah berikan yang terbaik tadi.

"Selepas ini mungkin kita terpaksa lakukan perubahan kerana ada pemain beregu yang menyertai kejohanan di luar. Kita akan berhadapan pasukan kuat seperti KB Petaling, KB Muar, KB Bandar Utama Dragons, jadi kita perlu mencuri mata dan kekalkan kedudukan untuk layak ke saingan kalah mati," kata Kay Lun selepas perlawanan.

Aksi perseorangan lelaki pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri apabila pertarungan antara wakil KB Petaling Jaya, R Satheistharan dan wakil KB Puchong United, Chong Wei Feng berkesudahan dengan keputusan 7-11, 7-11, 11-10, 3-2 (2-2) dalam 30 minit permainan. 

Selepas itu, Sayaka Takahashi meletakkan KB Puchong United di hadapan menerusi kemenangan 11-3, 8-11, 11-8, 9-4 (3-1) ke atas Sarita Suwannakitborihan dari KB Petaling Jaya.

Kategori beregu lelaki kemudiannya menyaksikan wakil KB Petaling Jaya, Bodin Isara-Koo Kien Kiet terpaksa berkongsi mata dengan pasangan KB Puchong United, Lee Jhe Huei-Lim Khim Wah dengan keputusan 11-9, 9-11, 11-10, 6-7 (2-2).

Aksi beregu campuran dan perseorangan lelaki kedua turut berkesudahan seri selepas tempoh 30 minit perlawanan.

Berita Harian X