Rabu, 28 Disember 2016 | 8:48pm

JDT mahu 'jual' Lucero kepada kelab Mexico

Pemain JDT, Juan Martin Lucero meraikan gol kedua jaringannya dalam aksi Liga Super 2016 ketika menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke IV, Kota Bharu pada 8 April lalu. - Foto NSTP/Fathil Asri
Pemain JDT, Juan Martin Lucero meraikan gol kedua jaringannya dalam aksi Liga Super 2016 ketika menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke IV, Kota Bharu pada 8 April lalu. - Foto NSTP/Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memberi bayangan untuk melepaskan Juan Martin Lucero kepada sebuah kelab Mexico yang berminat mendapatkan khidmat penyerang import dari Argentina itu.

Menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya berkata Lucero akan dijual pada harga US$2.5 juta (RM11.206 juta) berbanding US$1.5 juta (RM6.723 juta) ketika mendapatkan pemain itu.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini melepaskan rakan senegara Lucero, Jorge Pereyra Diaz kerana pemenang Anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2016 itu dilaporkan meminta gaji yang tinggi.

JDT bakal diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import dari Argentina iaitu Brian Ferreira dan Gonzalo Cabrerra selain bekas penyerang PKNS FC, Gabriel Miguel Guerra yang berkemungkinan besar beraksi untuk JDT II.

Pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun pula dilaporkan akan dipinjamkan sama ada kepada kelab Portugal atau Jepun selama setahun pada musim depan.

Skuad Harimau Selatan turut mempunyai seorang lagi pemain import iaitu Marcos

Antonio dari Brazil yang beraksi di posisi pertahanan. - BERNAMA

Berita Harian X